Sisipan Mutiara Pulau

Pulau Pinang , my beloved Penang. Sesungguhnya diantara semua negeri di Malaysia ini adalah satu-satunya negeri yang amat bermakna kepada diriku kerana aku jugak anak pulau ini. Pencapaian Pulau Pinang boleh dibanggakan, menjadi pulau yang termaju dinegara ini dan merupakan di antara destinasi yang menarik untuk dilawati oleh semua pihak. Banyak aktiviti sosial bercorak hiburan dan juga kebajikan yang sering dianjurkan sepanjang tahun. Banyaknya pusat membeli belah dan organisasi kebudayaan serta keagamaan yang  tidak pernah berdiam diri daripada melaksanakan tugas-tugas mereka dalam menyemarakan semangat kemasyarakatan penduduknya.

Pulau ini mempunyai simpanan sejarah yang amat mendalam. Selangkah dalam menghayati sejarah Malaysia, anda tidak akan terlari dari mendengar jeritan nostalgia Pulau Pinang. Dari sejarah hiburan sehinggalah ke detik sejarah perpecahan perkauman 13 Mei – Pulau Pinang tetap mempunyai peranan dalam sisipan kejadian sejarah ini.

Pulau rebutan dan pulau kebangkitan --  itulah nadi asas pulau yang digelar Pearl of The East.
Sejak kejatuhan Barisan di Pulau Pinang, banyak pihak yang bertanya adakah Pulau Pinang dijaga dengan baik? Adakah Pembangkang menunjukkan rentak pentadbiran yang wajar dan seimbang..? ramai yang bertanya kepada saya kenapa susah Pulau Pinang untuk ditadbir urus oleh orang Melayu..kenapa orang Cina menguasai hak di Pulau Pinang?...

Bagi menjawab soalan-soalan ini saya tidak mampu untuk mewakili suara pulau keseluruhannya kerana saya bersuara untuk menunjukkan keseimbangan dan bukan untuk mencari perbezaan.

Pulau Pinang pada mata kasar saya sedang diuruskan dengan baik, kemajuan memang sentiasa dirancang dan dilaksanakan dan bukan mahu mengatakan Pembangkang itu bagus cumanya tiada beza yang ketara diantara pemerintahan Pembangkang dan juga Barisan. Kedua-dua pihak telah berjaya menjalankan kerja dengan baik dan mereka telah menunjukkan nilai-nilai pemerintahan yang mampu menjana perubahan.

Tetapi itu tak bermakna bahawa setiap yang berlaku itu mempunyai nilai positif semata-mata. Pada saya pentadbiran Pembangkang adalah lebih telus dan kemungkinan terlalu telus sehinggakan mereka tidak menilai pun erti-erti istimewa penduduk-penduduknya. Pembangkang banyak membuktikan kepada penduduk disini bahawa mereka tidak memilih kasih dan melaksanakan tugas berlandaskan prinsip kepentingan negeri tapi jika itulah yang diteraskan dalam pentadbiran maka erti nilai sosial akan terhakis.

Sebab itulah permasalahan seperti kenaikan harta rumah, kemusnahan ekologi pulau dan pembangunan kurang seimbang kawasan bandar dan pinggir bandar kurang diberi perhatian yang ketara dari segi estetika nilai sosial. Lim Guan Eng tidak akan bangkit mengatasi masalah tanpa dorongan fizikal yang akan memihak kepada kelestarian imej negeri ini sebagai asset berharga ekonomi Negara.

Wajarannya Pulau Pinang ditadbir dengan baik atas dasar ianya merupakan satu nilai perlaburan dan perniagaan mengatasi kepentingan asas keadilan dalam pentadbiran.

Mungkin ada yang mengatakan hal ini tidak berlaku kerana Pembangkang juga menunjukkan keikhlasan dalam melaksanakan tanggungjawab sosial seperti membela nasib golongan miskin dan juga warga terbiar tapi percaya ataupun tidak, tanggungjawab itu adalah apa yang harus mereka laksanakan bukannya apa yang harus dibuktikan.

Sejak pemerintahan Pembangkang, kita tidak menyaksikan pengurangan kos hidup dalaman penduduk di Pulau Pinang. Tiada perancangan yang mendesak penurunan aspek asas kehidupan di negeri ini secara nyata. Hal ini amat mendukacitakan, dan jika ada yang berkata itu semua seharusnya menjadi asas kepada Kerajaan Persekutuan, maka persoalan kita berbalik dimanakah tanggung jawab kerajaan negeri…

Saya melihat sendiri, Pulau Jerjak yang merupakan jantung hijau negeri dan tidak pernah terusik kerana kepentingan asas sejarahnya tapi kini telah pun dikomersialkan dan dilaburkan untuk dimajukan. Keadaan kawasan berbukit di negeri ini dengan nyata dari pandangan jambatan pertama, kita dapat melihat bukit itu digondolkan untuk dijadikan perumahan mewah.

Persekitaran pulau yang dipenuhi dengan rumah-rumah mewah yang penjualannya dibuka untuk warga asing dengan nilai harta jualan mencecah ribuan juta ringgit serta lambakan projek-projek mewah untuk golongan kaya menikmati hidup mereka dilaksanakan tanpa halangan. Dimanakah penerangan ringkas tentang hal-hal berkaitan sebegini. Bukan mahu menolak kemajuan tapi hakikatnya terlalu banyak peningkatan yang berlaku sehinggakan masyarakat yang dibawah terpaksa memendam rasa untuk cuba hidup dalam negeri ini.

Setidaknya apabila kemajuan dan perubahan yang berlaku ini, pihak kerajaan negeri seharusnya merangka program untuk menjayakan pembangunan masyarakat dari aspek ekonomi bukannya menyokong aspek fizikal yang direncanakan oleh syarikat-syarikat swasta sahaja.

Kenapa Melayu tidak dapat memerintah Pulau Pinang.? Jawapan untuk persoalan ini adalah mudah kerana kebanyakan Melayu di negeri ini kurang mempunyai daya pemikiran yang matang dalam aspek perpaduan serta ekonomi. Bukannya masyarakat Cina itu membenci Melayu untuk memerintah negeri cuma sikap melayu itu sendiri yang penuh dengan sandiwara kaumnya telah memberikan gambaran bahawa nilai ekonomi dan pentadbiran asas negeri akan kucar-kacir disebabkan sindrom pertikaian melayu.

Dan saya orang melayu, saya tahu bangsa saya boleh berlaku adil tanpa memihak kepada sesiapa tapi saya juga jelas lagi nyata bahawa untuk memerintah negeri ini melayu perlu buktikan lebih dari hanya berlaku adil. Negeri ini berbeza persekitaran politiknya dengan negeri lain, scandal sosial dan imej pemerintah tidak dititik beratkan tetapi apabila anda ingin berpolitik dan menjadi juara dalam negeri ini, anda akan diminta untuk hadir bersama peluang dalam memastikan ekonomi dan hak-hak berwajib  golongan tertentu sentiasa terpelihara dengan baiknya. Jika anda masuk semata-mata untuk merencanakan wacana asas perjuangan parti-parti tertentu maka hakikatnya anda akan sentiasa kalah.

Saya tidak peduli siapa yang memerintah negeri, saya hanya mahukan perlindungan kepada asas masyarakat dan imbangan dari segi hak kehidupan lestari semua golongan di dalam negeri ini. Secara peribadi, saya masih kurang kagum dengan kesemua pihak yang memerintah negeri ini, DAP dan Barisan masih gagal untuk membuktikan bahawa mereka melaksanakan sepenuhnya tanggungjawab mereka. Dan itu sesuatu yang baik kerana jika kita berpuas hati, maka kita adalah penilai-penilai yang buta kerana dinamik pemerintahan memerlukan kesedaran yang nyata.

Suatu perkara yang indah tentang masyarakat di negeri ini adalah kami menanam asas yang kuat untuk setiap generasi menyedari bahawa keperluan untuk berdikari itulah yang menjadikan jadi diri bangsa itu kuat. Melayu, Cina dan India serta kaum lain yang tinggal di negeri ini harus akur bahawa sedetik pun saat dinegeri ini sungguh mencabar kerana bila-bila masa sahaja hidup ini boleh mengubah takdir dan tiada siapa yang akan tolong melainkan kesedaran kita sendiri. Jangan bermimpi untuk hidup percuma tanpa usaha!... baik kerajaan dan pembangkang keduanya boleh berubah dalam sekelip mata tapi realiti kehidupan kita adalah usaha dan jati diri dalaman kita. Jika kita kuat secara peribadi nescaya tiada siapa dapat mempersoalkan kemampuan dan keupayaan dan kita sentiasa disanjung dengan nilai yang sepatutnya.

Kehidupan di Pulau Pinang mematangkan saya untuk menzahirkan pemikiran sebegini dan saya amat bersyukur kepada setiap institusi masyarakat dalam negeri ini kerana kelakuanya yang menyumbang banyak dalam mewarnai minda saya.


Memang ketidak adilan itu sentiasa hadir, dan kita pun tidak terjangka sejauh mana ia mampu berlaku tapi semua itu asasnya adalah kita. Anda mahukan realiti.datanglah berhijrah ke sini. Pulau Mutiara ini bakal membuktikan kepada anda, siapa yang berhak atas apa yang diperjuangkannya… 

Comments

Popular posts from this blog

keluarga!

ImAzih nisutAM

Pengalaman "BLUE MOON" ku