Akal Melayu

1Melayu..! Adakah ada satu sahaja melayu dalam dunia ini? Konsep 1Malaysia ada wajarannya kerana hakikat yang nyata memang dalam dunia ini ada satu sahaja imej dan wajah Malaysia tapi bila ada tokoh politik yang mahu mewajarkan konsep ini direplikasikan dan diterjemahkan atas dasar  1Melayu, kita boleh ketawa besar kerna bukan melayu itu hanya satu. Apakah yang satu? Semua orang berpendapat konsep Satu Malaysia adalah berteraskan perpaduan dan penyatuan tapi sebenarnya ianya hanyalah eksplotasi perpaduan dan penyatuan kearah komersil dengan memberikannya wajah yang lebih mudah didekati dan senang difahami. Sebab itulah mudah sangat untuk kita gunakan slogan 1Malaysia dalam semua aspek yang bermakna kepada masyarakat contohnya Klinik 1Malaysia ataupun Kedai 1Malaysia.

Konsep ini diperkenalkan bukan untuk menganjurkan penyatuan yang bercorak baru dan terkini tapi ianya adalah penyambungan dan permudah bicara bagi dunia melihat konsep penyatuan itu dizahirkan. Kini kita ada entiti perlambangan yang kuat untuk menunjukkan kita menguna pakai konsep keadilan untuk semua- Satu Malaysia. Tapi bila ada yang mula terlalu obses sehinggakan mahukan ianya menjadi Satu Melayu, saya amat malu. Bukan malu kerana menjadi seorang melayu tapi perasaan itu lahir disebabkan setelah lama konsep ini diutarakan dan dibincangkan kenapa dengan mudahnya untuk kita membuat kesimpulan yang amat janggal sebegini.

Melayu tidak boleh bertindak menyendiri dan tidak sewajarnya cuba untuk menampilkan diri berkuasa dengan lantang, saya rasa melayu telah pun mencapai tahap kedewasaan yang utuh untuk dirinya gah dengan slogan yang lebih utuh dan padu lagi. 1Melayu bukanlah konsep yang sesuai kerana apabila bicara melayu bukan hanya ia perlu merentasi Malaysia tapi harusnya meliputi segala aspek perjuangan bangsa yang berlaku di seluruh dunia. Memang fokus kita adalah penyatuan melayu dalam Negara tapi janganlah 20 tahun dari sekarang melayu di Malaysia masih lagi asyik bercerita penyatuan yang sama. Kita kena menggunakan akal bahawa kita harus berfikir besar. Jadikan Malaysia empayar Melayu dan jadikan Malaysia asas untuk rujukan segala bangsa melayu diluar sana. Jika masyarakat Cina sangat berbangga dengan Negara China dan jika masyarakat India sangat berkasih dengan Negara India Dimanakah rujukannya bangsa melayu. Mahu sahaja saya berbangga dengan Indonesia tapi setakat itu sahajakah kemampuan melayu, Negara miskin dan populasi yang tidak seimbang dari segi ekonomi dan pendidikan.

Ternyata tiada satu pun wajah melayu yang dunia perlu melihat dan akui. Kitalah yang tunggal -- yang seakan memiliki peluang tapi melayu kita masih muda, masih diambang pembentukan.

Jadi tibalah masanya empayar Melayu diperkasakan bukan hanya dalam soal untuk membantu sesama sendiri tapi dalam soal menjadi teras rujukan kepada aspek kemelayuan yang sebenar. Melayu itu ikhlas dan jujur, tidak berdengki dan tidak berdendam. Mampukah pemimpin kita melaksanakan imej ini sebagai melayu sejati. Itu yang patut kita olahkan bila kita berhimpun dan berbincang soal melayu.? Bukannya soal penyatuan melayu sahaja…

Bersatunya Melayu dalam Malaysia hanya mempunyai satu cara, hapuskanlah sifat ingin membuktikan kemampuan diri kerana sifat itu sentiasa melambangkan kita kurang berkeyakinan terhadap asas dalam masyarakat kita. Jika kita ingin mempertahankan bahasa melayu kenapa tidak menolak sahaja wajaran dominasi bahasa lain yang menganggu teras perpaduan Negara. Kenapa mahu takut ketinggalan kerana bahasa sedangkan bahasa itulah lambang kemajuan…  Ramai sahaja bangsawan melayu berbicara lantang tentang hak dan pendoman tapi hadirnya memakai tali leher sedangkan Negara ini sentiasa dihuni bahang panas, seakan akan kelakar kita tidak membawa imej Negara untuk diagungkan sebagai asst professionalisme tapi sebaliknya kita hanya menghadkan kepada pemakaian sehari sahaja umpama cukuplah imej melayu setakat sehari jea.

Kelakarkan bila kita menghina dan berburuk hati terhadap mereka yang berusaha kerana mereka tahu Negara asal mereka telah pun ditinggalkan dan kerana mereka tahu nilai mereka adalah perlambangan asal usul mereka. Kita tidak sepatutnya berasa terancam terhadap penyatuan kaum Cina dan usaha gigih kaum India yang ingin membuktikan bahawa mereka berkemampuan itupun hakikatnya sejarah mereka berbeza dengan kita. Kita seharusnya malu kerana dengan kehadiran mereka barulah kita tersedar bahawa bila-bila masa sahaja apa yang kita pegang dari keturunan kita akan hilang jika kita hanya tahu berpegang kepada janji tanpa sebarang usaha yang nyata.

Melayu tidak boleh lagi dan tidak mampu lagi untuk meneruskan sandiwara berlagak adiwira dalam Negara sendiri, kita kena sedar bahawa bangsa kita tidak mungkin hilang dari dunia tapi milikan dan hak kita untuk berbicara akan terhakis jika kita hanya mampu untuk bertekak sesama sendiri tanpa berusaha menolak ketepi perbezaan dan berbicara untuk kemajuan.

Pihak PAS harus faham sedalamnya perjuangan bangsa adalah tidak semudah perjuangan agama dan UMNO harus mengerti agama membatasi bangsa tapi hilangnya bangsa itu kekal dan Islam sentiasa mekar malar tanpa berbangsa kepada sesiapa. Hanya jika kedua-dua pihak jelas dengan kepentingan ini dan tahu dimana garisan penjelasan dalam soal ini pada waktu itulah melayu adakn menjadi begitu kuat dan mampu berdikari.


Sejujurnya melayu yang ada kini diambang persimpangan kerana generasi mendatang mungkin tidak lagi ingin bangsa memperbatasi hak mereka dalam membuat keputusan dan dalam kebebasan bersuara. Politik perkauman dan bangsa mungkin tidak akan wujud tapi imej itu tetap akan kekal untuk jangka masa yang lama dan jika kita mahu menjuarainya kita harus mengakui siapa melayu jika bukan bangsa Malaysia yang beragama Islam dan berbahasa Melayu dan mempunyai pengetahuan asas adat dan cara hidup Melayu dan kehidupannya dizahirkan dengan sifat-sifat sebenar orang Melayu… itulah Melayu Kita. Dan inilah perjuangannya.       

Comments

Popular posts from this blog

keluarga!

ImAzih nisutAM

Pengalaman "BLUE MOON" ku