Memahat Keadilan Dalam Pembentukan Baru 2014

Istilah War On Terror, pemberontakan dan freedom of speech serta hampir segalanya tentang konflik dalaman masyarakat yang kita nilai dan hadapi sekarang adalah kesan daripada globalisasi yakni perkongsian global maklumat dan agihan kuasa serta kepercayaan.

Untuk menyatakan bahawa semua ini berlaku adalah kebetulan dan kita adalah masyarakat yang berbeza dengan dunia Barat adalah satu bentuk pengakuan yang kurang bijak. Kita hampir sama dengan mereka dan apa yang terjadi pada kita kini adalah akibat globalisasi yang memungkinkan perkongsian daripada apa yang mereka lakukan.

Dunia kini lebih terikat dengan satu sama lain, dan kewujudan persamaan ini sedang berlaku dengan pantas sehinggakan kita sering dilihat sedang berlawanan antara satu sama lain dalam membentuk realiti masyarakat dunia sebenar.

Pada tahun 2014, lebih banyak benih-benih konflik antarabangsa yang akan tumbuh dan kita dipersaksikan dengan kebangkitan nilai diri di atas tanah air sendiri.

Sebenarnya seperti mana saya pernah bangun dan nyatakan dahulu Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) adalah entiti kiasan yang perlu dirombak dan diperbaharui kerana badan ini akan menjadi perbualan yang lebih kuat pada masa hadapan disebabkan oleh terlalu banyak perpecahan dalam nilai sebenar keadilan dunia.

Untuk memberikan anjakan keadilan kepada dunia, status quo perolehan Negara anggota dalam PBB perlu dilihat semula dan setiap Negara yang mempunyai kepentingan atas dasar kuasa ekonomi, militan dan sosial yang meliputi agama wajar diberikan kepercayaan baru untuk menerajui badan yang berkuasa ini.

Undang-undang dunia tidak perlu digariskan dan hak keadilan masyarakat dan individu perlu diberikan kepada negara anggota masing-masing berdasarkan corak pentadbiran yang diperakui oleh masyarakat negaranya sendiri.

Persoalan tentang hak untuk campur tangan dalam hal kemanusiaan dan perolehan perlaburan luar diantara negara-negara anggota perlu diperbahaskan dengan mendalam kerana setakat kini, kebocoran dan dominasi oleh negara-negara maju serta kuasa-kuasa tertentu banyak mewujudkan jurang bagi perolehan keadilan dalam kehidupan masyarakat dunia.

PBB mungkin dilihat selama ini sebagai badan proaktif dalam menyuarakan banyak perbincangan yang meliputi pelbagai aspek tetapi langkah dan tindakan yang disusuli memperlihatkan berlakunya ketidak adilan apabila aspek bersuara untuk memperjelaskan mesej-mesej keadilan diperlekehkan oleh badan dunia ini.
Sehingga kini PBB dilihat melindungi dan hanya bertindak atas dasar yang digubal berdasarkan pandangan beberapa Negara anggota tanpa merujuk persoalan hak dan kepercayaan yang disokong oleh kebanyakan masyarakat dunia.

Badan ini setidaknya perlulah mengutamakan nilai hidup dan bertindak melindungi nilai-nilai manusia daripada bertindak untuk mengawal takbir aktiviti dan peranan masyarakat.

Nilai manusia yang dimaksudkan adalah bukannya natijah Barat mahupun Timur tentang asas peribadi manusia tetapi sifat sejagat tentang kemanusiaan yang perlu disokong oleh seluruh penduduk dunia
.
Kita perlu menerangkan kepada dunia erti kehidupan lestari yang merangkumi aspek hormat-menghormati dan memadamkan benih-benih salah sangka diantara satu sama lain. Dan jika pasti itulah bicara manusia setiap kali berhimpun, kita setidaknya akan sentiasa cuba memperingatkan tentang keamanan dan keadilan tanpa memihak kepada sesiapa.

Perlu diperjelaskan kepada dunia bahawa tiada keadilan jika kita memadamkan peluang keatas pihak tertentu bagi melaksanakan sepenuhnya hak yang diberikan kepadanya.

Dunia perlu akui bahawa sejarah mungkin berubah dan manusia harus sentiasa berusaha untuk berubah dalam memperjelaskan konflik semalam adalah tuntutan silam yang tidak bisa menjadi suara dendam di masa hadapan.

PBB yang baru haruslah berperanan untuk membuka buku-buku sejarah dan mengajar manusia akan setiap erti kejadian dan membawa dimensi keadilan yang baru tanpa berteraskan peperangan dan kemelut pemberontakan yang memusnahkan lagi merugikan.

Dinamik pergerakan ekonomi dunia perlu dijana untuk membenarkan negara-negara mundur serta miskin diberikan mandat untuk mendewasakan diri bagi mengurus takbir negara masing-masing tanpa campur tangan dominasi ekonomi kuasa besar.

Perkongsian ilmu tentang tenaga dan pengubahan faktor keselamatan sejagat kearah pembasmian pemberontakan militan yang menindaskan hak kemanusiaan dan gerak atur perbincangan kearah membestarikan masyarakat perlu sentiasa dianjurkan supaya bukan hanya kita memahami konflik yang berlaku tetapi masyarakat dunia mendapat perolehan maklumat yang sebenar tentang perkara yang berlaku.
Dunia harus akur bahawa jurang dimensi diantara setiap negara adalah tipis dan tiada pihak selayaknya menuntut hak untuk mendominasikan bangsa mahupun agama tanpa sebarang perjanjian bersama.

Seharusnya setiap Negara anggota PBB membentuk kesatuan-kesatuan tertentu dan mereka diwakili kesatuan ini untuk menyuarakan pendapat dan ianya haruslah diubah mengikut kepentingan kesatuan dan perbincangan Negara anggota.

Dunia menuntut kemodenan dan memperakui hakikat bahawa generasi yang akan datang pastinya memusnahkan antara satu sama lain jika mereka dibebankan dengan perjanjian generasi terdahulu dan dendam yang generasi sebelumnya satukan.

Kita generasi sekarang hendaklah jelas bahawa setidaknya kita unjurkan pendamaian dan istilahkan keadilan supaya generasi yang mewarisi perjanjian kita tidak melihat bebanan kita sebagai dendam dan dosa silam yang perlu diperjuangkan dan dibayar dengan kekejaman dan penindasan.

Mematangkan diri untuk melihat dunia meliputi aspek keadilan bagi semua adalah perlu supaya walaupun Tuhan menjanjikan Syurga kepada yang berhak, kita membuka pintu keamanan kepada semua atas dasar keadilan dimiliki untuk segala yang bernyawa tanpa memikirkan hak Syurga  dan jalan kebenaran.

Masyarakat dunia harus sedar jika keesokkan harinya kiamat dan ini adalah penamatnya, kita yang tinggal adalah masyarakat yang tidak melakukan perubahan terhadap setiap kesalahan yang pernah kita lalui. Dan mungkin kesedaran ini perlu diberitakan kepada dunia supaya setidak-tidaknya segelintir kita sedar, kebencian dan penghinaan yang kita lontarkan adalah syaitan diri yang menolak kita dari berlaku adil terhadap tuntutan dunia dan segalanya akan menjadi perbualan di akhirat kelak.

Mungkin janggal untuk menyatukan bangsa, agama, kaum dan hak tapi itulah sebenarnya langkah yang perlu diteluskan supaya kita mampu untuk menjana sesuatu yang lebih positif dari apa yang kini kita warisi sejak peninggalan nenek moyang kita.

Sesetengah yang membaca mungkin berpendapat bahawa jika penyatuan ini berjaya adakah kebebasan itu terbuka kepada semua dan dunia lebih kucar-kacir dari hakikat yang kita lalui. Ringkasannya adalah benar jika kita sendiri tidak yakin bahawa keadilan itu boleh diberikan kepada semua tanpa memihak atas sesiapa.
Sebelum sesuatu itu terlaksana, kita sebagai individu yang mahukan perubahan haruslah akur terhadap tindakan yang diambil kerana setelah ianya terjadi kita bertanggungjawab sepenuhnya atas perolehan baru yang bakal menjelma.

Dunia kini tinggal dalam penyesalan. Di Malaysia mahupun dimana sahaja, setiap masyarakat sering bersatu menyuarakan perubahan sedangkan baru semalam mandat diperbaharui . Sedih untuk melihat dunia yang kian gelap cahayanya; apabila tidak ramai yang bijak memperhalusi peluang membawa setiap penyesalan yang berlaku sebagai tuntutan yang harus dilalui tanpa menyalahi satu sama lain.


Pada akhir tahun ini, keazaman untuk mewujudkan kefahaman baru dalam melihat dunia harus diketengahkan secepat mungkin kerana dunia menuntut suara baru dalam perjuangan menegakkan keadilan manusia sejagat. Bermulanya wadah 2014 pasti penuh warna-warni pergolakan dunia…dan setidaknya kepada sesiapa yang jelas: marilah menyuarakan kembali semangat keadilan dunia ini!

Comments

Popular posts from this blog

keluarga!

ImAzih nisutAM

Pengalaman "BLUE MOON" ku