KU YAKIN INILAH WAKTUNYA!

Politik, ideologi dan populariti. Adakah wajar untuk kita mengatakan ini penting dalam kehidupan?

 

Populariti;

Hari ini jika anda tidak popular - tiada siapa mahu mendengar, melihat dan mengetahui. Guru lebih mudah diterima jika mempunyai rupa, penyanyi lebih mudah dijual jika mempunyai cerita dan pelakon lebih senang difahami jika mampu petah berkata-kata. Bukan ilmu, bakat dan minat menjadi ukuran. Cukup sekadar tontonan ribuan, cukup sokongan “like” jutaan dan cukuplah sekadar setua jagung dalam berkata-kata maka berilmu, berakal dan berakhlak lah sudah untuk dijadikan pejuang, pemimpin dan pewakilan dalam masyarakat.

Kuasa, pengaruh dan suara hanyalah hiburan kepada mereka yang leka. Mereka berfikir cukuplah jika yang indah, cukuplah yang gagah dan cukuplah yang petah berdiri menjadi pemimpin.

Sedangkan perancangan, kesabaran dan kesetiaan amatlah penting untuk mewujudkan kestabilan dalam masyarakat. Jika kita terus bersenang dengan pendekatan populariti - maka janganlah terkejut dengan pertimbangan dan dugaan suara terucap tanpa henti.

 

Politik:

Demokrasi - dimanakah pengakhirannya?

Apabila pilihan dibuat dengan nilai yang meletakkan kesenangan sementara mengatasi impian dan cita-cita. Politik adalah suara dan suara tidak semestinya benar. Politik bukan kuasa tetapi hanyalah lontaran kata-kata yang padu tanpa maksud apa-apa. Ahli politik sekarang hanya pekerjaan untuk mencari rezeki dan bukannya bercita-cita membina masyarakat dan memperindahkan ketamadunan. Jika ditanya siapakah diantara mereka pemimpin yang membina empayar memajukan masyarakat - terdiam semuanya. Mereka hanya memperkayakan keturunan dan memperjudikan nasib bangsa sendiri dengan niat melindungi darah daging sendiri. Tidak lain hanya mengejar status “elite” dan berada dalam kumpulan terkecuali kerana itulah suara! Kepentingan mereka! Hak mereka! Bukan milik kita - kita hanya pengundi; jakun diperjalanan.

Kita dibenar memilih tapi mereka yang menetapkan siapa mereka mahukan kita untuk memilih.

Demokrasi terhenti!

 

Ideologi:

Tidak seperti dulu. Kini semua mahu berdiri diatas landasan sendiri. Termasuklah penulisan ini yang ingin menegaskan bahawa idea itu lebih senang dinyatakan dari di praktikkan. Kita berdiri tanpa melihat kepada diri sendiri. Perkauman; perselisihan fahaman keagamaan dan perjuangan hak hari ini terdetik akibat dari kelompok luar yang tiada logikal dengan sejarah tempatan.

Perjuangan hak kaum India bertitik beratkan perkara yang sama yang sedang berlaku di India, penindasan berdasarkan kasta dan dominasi kuasa kuil dijadikan isu sedangkan hal itu tiada kena mengena dengan orientasi perjuangan dan perjalanan sejarah untuk kaum India di Malaysia. Menjadi fokus utama seharusnya mengeluarkan peranan kaum India dari kawasan perladangan dan membangunkan mereka untuk berani serta melibatkan diri dalam masyarakat - dan hal ini telah menjadi kejayaan! Tapi ideologi Tanah Besar tetap bertunjang disini, seolah-olah hak itu tidak bermakna jika bukan datangnya mandat dari kepimpinan tertinggi di India. Siapakah mereka di Malaysia dan kenapa perlu ada hak diberikan suara untuk mereka mewakilkan anda - peribumi kelahiran Malaysia?

Oh Cina. Janganlah menipu diri. Obsesi anda tidak pernah berakhir, Islam memperakui China adalah tempat perkembangan ilmu dan sewajarnya sebagai komuniti yang tinggal di Malaysia anda harus berbangga dengan nilai dan tahap yang diletakkan oleh masyarakat negara ini yang sentiasa iri hati dengan kejayaan dan kekayaan masyarakat Cina. Anda mahu berkata anda ditindas, anda mahu percaya hak anda terhakis dan diperkecilkan sedangkan kurikulum pendidikan anda tidak pernah terusik, bahasa anda tidak pernah dihina dan anda masih mendominasi perniagaan dan kekayaan negara ini. Tidaklah mampu saya berkata-kata jika anda mengatakan anda amat berhak untuk mendapat lebih seperti mana seadilnya di China. Terimalah bangsa anda dan negara kelahiran anda. Hormatilah kepelbagaian kaum di negara ini kerana anda masih peneraju ekonomi, pandanglah kami sebagai saudara dan raikanlah bersama kelebihan anda kerana kami masih iri hati dengan anda. Fikirkanlah; tiada makna berpegang kepada ikatan China sedangkan mereka terlalu besar untuk melihat anda yang kerdil - adakah anda tidak pernah berada di Malaysia?

Melayu! Tolong lihat Perlembagaan. Hayatilah dan didik diri untuk terima. Kalau anda mahu berbangsa dan beradat tapi janganlah lupa, pembentukan Malaysia mendefinisi kan MELAYU khas untuk melibatkan semua pecahan bangsa dan adat yang pelbagai ini dalam satu kelompok. Kalau bercerita tentang keris, memang pelbagai - jika membandingkan kain tenunan, ternyata banyak tidak terkira lantas itu semua adalah senjata dan pakaian semata-mata maka disitulah penyatuan kita sebagai MELAYU. Jangan lupa kita memperjuangkan penyatuan dalam satu nama bangsa sebagai MELAYU. Meletakkan agama dan bahasa sebagai asas kerana itulah kekuatan penyatuan. Kini kita berjuang atas dasar Agama tanpa menyuarakan peryatuan. Kita berjuang atas dasar Bahasa tanpa mengutamakan penyatuan dan diantara kita menjadi MELAYU yang takut untuk meletak aras yang sama bagi keduanya dalam menilai pertimbangan konsep MELAYU. Siapa yang kita takuti?

 

Ideologi tidak pernah pendek dan tidak mungkin mudah ditulis tanpa melihat titik permulaan dan dimanakah bakal ia berakhir. Yang penting untuk difahami, perkembangan ideologi di Malaysia kian dijajah dan yang terlahir adalah perjuangan palsu. Palsu kerana sejauh mana diperjuangkan ia bukanlah fahaman majoriti dan bukan jua pegangan kukuh dalam kumpulan minoriti. Hentikanlah!

 

Populariti ,Politik dan Ideologi!

Henti!

Fokuskanlah kepada

Perpaduan, Permodenan dan Integrasi

Bersulamkan dengan

Perlembagaan, Perundangan dan Integriti



Comments

Popular posts from this blog

keluarga!

ImAzih nisutAM

Pengalaman "BLUE MOON" ku