Secebis Ilmu di Negaraku

 Dimana kita?

 

Adakah selangkah memajukan diri ataupun selangkah selesa dengan mendiamkan keluhan?

 

Sistem pendidikan di Malaysia, sering kali berubah dan terus berubah mengikut acuan politik. Perjalanan dan kemajuan sistem dibentuk untuk memberikan imej kejayaan kepada peneraju arena politik negara. Sebab itu natijah pendidikan berdasarkan status quo bangsa masih kuat dipegang, sebab itu pendidikan teras keagamaan dinafikan. Kita hidup dengan mundur tanpa lesu terhadap imej pemimpin yang hanya mahu benar di mata masyarakat.

 

Setakat hari ini, perubahan yang berlaku adalah secara langsung dari suara rakyat. Rakyat yang gelisah tanpa arah tentang pendidikan sedangkan rencana sekarang merupakan acuan kukuh sistem yang telah lama wujud.

 

Kenapa kepentingan tinggi diberikan kepada pembelajaran berdasarkan silibus buku dan rencana guru sahaja? Bukankah dulu di agungkan sistem penbelajaran kendiri dan ICT integrated learning sehingga program FROG-VLE diperkenalkan lantas guru pun telah dipaksa dengan RPH Online - tetapi asas itu semua dilupakan kerana pak menteri nya lain.

 

Melupakan usaha dan wang yang telah diletakkan kerana dalam persoalan pendidikan Negara - “masyarakat adalah entiti penting” kata kata pemimpin yang tak nak malu dan hanya timbul bila perlu.

 

Dulu sewaktu kurikulum KBSR dan KBSM diperkenalkan landasan nya hanya satu - menyediakan masyarakat yang disatukan dengan sistem pendidikan yang setara walaupun cabangnya berbeza; berpusat satu sistem penilaian yang merangkumi keperluan dan kehendak semua sistem sekolah.

 

Lantas terdapat banyak perbezaan antara aliran sekolah kebangsaan dan jenis kebangsaan tetapi masih semua itu menetapi satu tujuan - menyatukan kualiti pendidikan supaya semua golongan masyarakat dapat berdiri sama tinggi walaupun kualiti berbeza.

 

Itu dahulu.

 

Kini KSSR dan KSSM diperkenalkan - satu sistem penyelarasan dimana semua sekolah tanpa kira jenis memegang bahan dan standard yang sama berpandukan kurikulum yang selari.

 

Matlamat kini adalah untuk membentuk satu acuan sendiri yang boleh memberikan justfikasi kualiti dalam pendidikan. Salah satu sumber idea dan ilham adalah masyarakat. Oleh yang demikian, kehendak masyarakat dan keperluan nya di utamakan - akan tetapi kesilapan yang nyata adalah masyarakat tidak melihat ke hadapan dan pemimpin takut akan cabaran.

 

Kegagalan kita adalah mudah untuk difahami. Kita dipersimpangan antara mahu bebas menjadi pendidikan berkualiti ataupun masih mahu mengikat diri dengan pandangan serta penilaian sekitar. Contoh yang terbaik menjelma ketika kita di dalam tekanan seperti sekarang, keputusan yang dibuat adalah berorentasi jangka masa pendek dan hanya bermodalkan kepuasan hati.

 

Kita membuka TV Pendidikan kerana desakan, kita menangguh peperiksaan kerana ketakutan dan kita kerap bermain dengan arahan kerana kita sendiri ragu-ragu dengan kesan perbuatan kita.

 

Saya diherdik kerana mencadangankan sistem persekolahan atas talian secara sepenuhnya, saya dikatakan kurang perhatian terhadap keperluan pelbagai masyarakat kerana mendesak tumpuan seharusnya diberikan terhadap infrastruktur sekolah yang daif.

 

Kita tidak mengambil kesempatan, kita ada masa setahun untuk menaik taraf sekolah dan memperbetulkan masalah dalaman seperti takbir urus dan kewangan tapi kita mahu fokus kepada “guru kurang kreatif” - kita mahu menjadi hero dengan galakan penganjuran populariti dan ruang likuk berita - dengan memberitahu masyarakat apa yang dilakukan adalah atas dasar “usaha”.

 

Buku teks masih tidak pernah cukup, sekolah masih banyak yang tiada access internet-air bersih dan elektrik malah kemudahan asas tandas dan kantin amatlah daif. Apa yang berlaku - kita salahkan sekolah ditutup. Sekolah ditutup tapi pejabat masih dibuka; guru masih bertugas - apa yang dibuat pegawai - dikerah untuk menjaga guru dan murid - PPD dan JPN turut berganding bahu menjadi peneman guru secara atas talian. Mesyuarat, perbincangan dan usaha gigih untuk menjayakan iltizam “pendidikan tidak terhenti”.

 

Sedangkan secara dasarnya, semua terhenti.

 

Secara dasarnya Kementerian tidak membuat apa apa. Hanya menulis perundangan dan arahan.

 

Bukan guru yang bersenang girang tanpa kerja, bukan murid yang tidur lena lupa membaca dan bukan ibu bapa yang tidak terfikir masa hadapan anak-anak.

 

Pemimpin yang berdalih supaya masalah sebenar adalah diperingkat pelaksana. Mereka boleh mengatakan mereka banyak melakukan kerana tanpa buah fikiran dan kepimpinan mereka semua ini mungkin tersisih ; tetapi pada masa yang sama mereka hanya melaksanakan apa yang kita cadang bahkan lebih teruk lagi kurangnya perancangan. Kesilapan mereka masih berulang - sistem pendidikan masih daif; portal access KPM masih perlahan - data asas serta kemudahan disekolah masih banyak kesilapan.

 

Setahun dibazir atas alasan “sekolah terhenti”.

 

Pendidikan adalah sepanjang hayat. Pendidikan adalah berterusan.

 

Tetapi hakikatnya sesuatu yang asas seperti itu yang dinyatakan dalam Perlembagaan dilupakan.

 

Mereka sendiri yang kerap berpesan - sebaik baik pembelajaran adalah pembelajaran kendiri. Apabila guru hanya bertindak berkongsi nota dan mengeluarkan arahan untuk murid bertindak sendiri - apa yang berlaku, tidak pula dinyatakan dengan baik bahawa itulah konsep kendiri. Ada yang sampai akalnya untuk menunjuk jari guru itu malas, guru tu zalim dan guru itu bergaji buta.

 

Kerana masyarakat sudah panik, murid disuruh fikir sendiri!

Apa giler- tidak pernah dalam sejarah kononnya pelajar perlu belajar hanya dengan nota dan tugasan.

 

Tak dapat dibayangkan nasib seorang murid apabila tiada guru untuk menerangkan fakta yang hanya perlu dihafal.

 

Aku hanya mampu mengeluh.

 

Inilah kualiti pendidikan pada zaman ini.

 

Pendidikan dimana kepentingan adalah pandangan dan kehendak masyarakat.

 

Perlu diingatkan semula, pada Zaman Kegelapan Eropah - perkara inilah permintaan dan perjuangan mereka. Mereka selesa, mereka berjaya dan mereka bangga dengan apa yang mereka ada.

 

Sedangkan ketamadunan luar seperti Islam pada ketika itu, tidak mengguna pakai keselesaan sezaman itu; mereka mencari ilmu walaupun terpaksa belajar diluar norma serta bukan bahasa sendiri sehinggakan golongan yang selesa, berjaya dan berada itu ketinggalan.

 

Kita sudah ketinggalan, kita sudah jauh terselesa dengan idealistik sendiri dan kita berada pada peringkat mengada-adakan sesuatu untuk diri sendiri sahaja.

 

Saya berharap janganlah kita rosak dan terlambat sehingga ada orang luar terpaksa menjajah tanah ini untuk memperbetulkan semula mana yang silap. Saya berharap kita tidak tergadai hak kerana alpa untuk mendidik hal sebenar dan saya amat berharap saya sempat berpesan untuk kebaikan dan membuka mata merubah nasib dan mempertahankan ilmu dengan seadanya.

 

Ilmu itu unik. Ilmu tak selari dengan kehidupan manusia. Ilmu adalah tanpa had dan batasan. Fahamilah sifat ilmu.

 

Kelak ianya amat berguna.

Comments

Popular posts from this blog

keluarga!

ImAzih nisutAM

Pengalaman "BLUE MOON" ku