terukir di bintang

Langit gelap dilampiri dengan tikar bintang yang bercahaya membuktikan suatu ketika dahulu terdapat keindahan yang tidak mungkin dapat membayangi puluhan cahaya di atas tanah bumi. Cahaya yang bergerak dengan penuh ketenangan melintasi jajaran ruangan kosong dengan penuh kejituan; dengan hanya niat membuktikan kewujudanNya.  Tidak bertujuan menunjukkan kekuatan dan kemegahan tetapi itulah tujuan penciptaan bintang di angkasa raya. Tujuannya hanyalah untuk memperingati hati-hati yang tidak pernah tahu akan erti bersederhana dan melupakan.

Tidak pernah dilupakan kenangan silam maka cahaya bergerak dengan kelajuan yang sangat pantas tetapi sinaran cahaya yang sama akan tiba dengan penuh kelewatan membawa sesuatu dari tempat yang telah banyak berubah.

Pernahkah anda terfikir rujukan cahaya bintang dapat dirumuskan sebagai satu falsafah kearah keamanan sejagat?

Jika dahulunya arah bintang memberikan kita petunjuk kepada daratan yang nyata tetapi kini apabila bintang tidak lagi mampu bercahaya untuk menyinari perjalanan kita; kita seakan-akan melihat ke langit dengan tanggapan ianya kosong tanpa tujuan.

Cahaya bintang bukan hanyalah indah, tetapi menyinari setiap kejadian yang pernah disaksikan langit sama ada dalam terang mahupun tika dalam kegelapan. Bintang tidak pernah berkata-kata dan ianya pula tidak pernah cuba mengkhianati perjalanan alam.

Lihatlah kepada kelebihan bintang yang melepaskan cahaya tetapi tidak pernah melupakan kepanasan yang membuak di jiwa. Cahaya yang bergerak dalam kegelapan dengan kepantasan tetapi membawa bersama memori silam yang bertujuan membina tenaga dalamannya supaya apabila tersentuh oleh deria yang memahami terpancarlah sinaran keindahan.

Seandainya cahaya itu adalah ingatan hati manusia maka perlulah kita merenung dengan mendalam sifatnya supaya dapat diolah kefahaman ke atas pembentukan sifat yang lebih tenang dan damai.

Bergeraklah hati mu sejajar pergerakan cahaya, tidak pernah melupakan kejadian semalam-membawa ertinya merentasi kegelapan dalam usaha mencari tempat yang membangkitkan kekuatan dalam keindahan serta keamanan.

Mungkin terlalu mendalam untuk insan biasa membaca dan memahami lafaz ayat yang tertulis tetapi ringkasannya amatlah mendalam ertinya; ingatilah setiap kemelut yang berlaku dan berpesanlah untuk memaafkan kesilapan lalu daripada berpesan untuk menyemai dendam perbalahan.

Tidak semua kesalahan itu memungkinkan hukuman keatasnya, malah tidak semua kejadian itu bertujuan membangkitkan kebencian dalam hati generasi yang hanya membawa kata-kata dari perjanjian kata manusia. 

Tidakkah malu akan kamu yang membenci sesuatu yang sama sahaja bentuknya dengan apa yang kamu sendiri miliki. Tidakkah pernah kamu berfikir sebanyak mana darah yang menitis membentuk sungai merah yang kamu membasuhi tangan setiap hari itu menjadi kesilapan kamu yang buta untuk memaafkan hati keji dan binatang yang telah memulakannya.

Jadilah pejuang yang hatinya penuh dengan ketenangan untuk menjawab setiap kemelut berpandukan kemaafan dan perjuangkanlah keadilan berlandaskan ketenangan bukannya kemarahan yang buta seperti seorang yang hilang akalnya.

Dunia kini telah berhenti berputar supaya masa yang beralih tidak membawa perubahan terhadap hati yang telah menjadi batu; keras dan tidak bercahaya.

Ketika kita melihat kelangit mencari cahaya bintang, kita menyuluh ke angkasa dengan bangganya untuk melihat  dengan nyata siapa yang bijak mengatur alam.

Sedangkan alam itu tetap aturannya dan tidak perlu menyuluh kepada diri manusia untuk mengetahui manusia itu telah sesat dan memerlukan perjalanan keluar.

Ingatilah kesempurnaan manusia itu adalah sumpahan yang tetap dan sentiasa dibayangi oleh kegelapan seperti sebutir bintang yang terukir dilangit.

Comments

Popular posts from this blog

keluarga!

ImAzih nisutAM

Pengalaman "BLUE MOON" ku