~ALLAH~

Aku selalu bermimpi dan harapan ku adalah untuk setiap detik mimpi yang terukir itu semata-mata adalah gangguan akal terhadap minda yang telah letih bercanda dengan realiti masa. Akan tetapi ini bukanlah bermakna semua itu tidak pasti terjadi sebaliknya ia merupakan satu bentuk perlambangan yang telah mengubah bentuk kepada bayangan untuk menitik beratkan penerimaan akal. Seperti sebuah karangan yang memerlukan kekuatan kata untuk memberikan gambaran yang jelas tentang makna dan nilai, itulah perjalanan penulisan sebuah mimpi.

Seperti sebuah mimpi suatu kejadian telah dibentuk, kejadian dimana semua Maha Suci berkumpul dan berkata-kata terhadap suatu kejadian yakni ketika masa masih lagi bayangan putih dalam kelompok yang tiada penghujung. Suatu ketika mereka berkata-kata tentang bayangan nasib manusia yang telah lama menjadi perhatian mereka. Tetapi kini bukanlah perjalanan masa yang menjadi taruhan mereka. Sesuatu yang lebih membimbangkan dan perkara yang teramat besar sehinggakan suatu kemunculan MAHA KEESAAN menjadi satu petanda yang kurang selesa.

Seperti cerita mimpi, dua pihak dipilih untuk berkata-kata terhadap seluruh pihak manusia akan kejadian di waktu siang dan malam. Tiada apa yang membanggakan dan tiada pula yang sungguh membawa kepada kelebihan. Kedua-dua pihak gagal menyimpulkan penilaian yang amat dinantikan. Sedangkan serumpun Maha Suci sedang berusaha untuk menafikan setiap kesilapan dengan pertaruhan masa dan masa telah pun menafikan mereka kesemuanya.

Seperti mimpi di dalam mimpi, kata-kata yang diluahkan manusia amat menyedihkan sedangkan bukan hanya yang mendengar tidak mahu mengetahuinya malah yang telah tahu lagi adil dalam segala keadilan tidak mahu mendengar akan kejadian hidup manusia yang sungguh menyedihkan. Seakan-akan tiada yang akan berakhir, keangkuhan dan kehinaan kedua-dua wakil telah membuatkan seluruh alam terdiam dalam ruangan angkasa yang luas dan kosong.

Seperti cahaya dalam mimpi yang muncul bersinar maka tibalah MAHA KEESAAN dalam kekalutan semua makhluk alam. Semuanya inginkan masa untuk menjadi petualang yang akan menjanjikan perubahan. Masa bukanlah teman rapat sesiapa yang tidak pernah menghargainya. Sepanjang masa berjalan, setiap yang hadir dibayangi oleh kelukaan yang mendalam dan sedarilah mereka bahawa tiada kuasa yang hadir mampu bersatu untuk menghapuskan keputusan yang bakal diterjemahkan.

Seperti suara padu dalam mimpi, iaNYA mahukan manusia berkata-kata dan apa yang didengar tidak langsung melambangkan kesyukuran dan tidak pula ia memberi makna kejujuran. Aku yang terpaku menjadi saksi seluruh kejadian, menjadi batu yang hanya mampu menerima pukulan ombak. Sungguh sedih segalanya. Tangisan alam berkumandang dari segala pelusuk dan seluruh kejadian rebah tidak menentu kerana hakikinya adalah nyata.

Apabila mimpi terakhir tiba, keputusan telah dibuat. Tuhan yang Satu menoleh mukanya terhadap sekalian makhluk dan segalanya tahulah ini masanya adalah yang terakhir. Tiada satu muka pun tidak menitiskan air mata dan tiada satu mata pun tidak menunjukkan penafian terhadap apa yang berlaku. Sayu hatiku dan itulah yang melanda seluruh alam, kerana ketika manusia bersuara mereka tidak bersatu dan tidak mereka mewakili selain dari diri mereka sendiri.

Tangisan ini bukanlah kerana pengakhiran telah tiba tetapi tangisan ini adalah kerana kehinaan yang menimpa manusia yang tiada tahu akan bencana yang akan menimpa. Seluruh kuasa alam berpaling dan Tuhan Yang Satu juga menafikan hakNya keatas mereka yang berhak. 

Kenapalah aku menjadi mata yang melihat kesaksian ini sedangkan aku tidak mampu untuk menzahirkan pengertian yang telah kuperhatikan. Tidak pernah sepanjang mimpiku, suatu kesedihan merobek jiwa dan menakutkan seperti mimpiku semalam.
Bukan satu tetapi beribu yang mendengar dan bukan yang suci sahaja hadir memberikan tumpuan tetapi seluruh yang berkuasa menjadi mata terhadap apa yang berlaku. Sungguh hina sekali manusia!

Terimalah penamat masa kerana ini adalah kesalahan yang tidak mungkin boleh kita bangun untuk memberhentikannya. Dua pihak berjalan kearah yang berasingan dan salah seorang pun tidak menoleh kebelakang. Maka yang hadir hanyalah mampu terdiam dan menunggu yang benar untuk hadir dalam memberikan kesimpulan.

Masa kini hanya menanti pihak yang akan pulang. Tuhan Yang Satu telah pun membuat keputusan. Inilah kesedihan alam. Manusia berjalan atas ciptaan mereka sendiri.  Kesimpulannya hanya dua.

Comments

Popular posts from this blog

keluarga!

ImAzih nisutAM

Pengalaman "BLUE MOON" ku