5 sahabat!

Lima orang sahabat yang terbaik pernah hadir dalam kehidupan ku!

Sahabat pertama muncul apabila keluarganya baru berpindah ke dalam kawasan kampungku. Banyak perit yang aku lalui tanpa pengetahuannya tetapi permulaan persahabatan kami adalah sesuatu yang unik. Aku tidak ingin berkawan dengan dia tetapi akibat desakan rakan yang mengatakan bahawa kemewahan keluarganya akan dapat memberikan nilai tambahan terhadap persabahatan yang terukir maka aku pun mula menerima dia sebagai sahabat. Tetapi semakin lama aku kenali si dia semakin jauh hatiku terhanyut dengan tawa kegembiraannya. Sungguh mesra dan ramah hatinya tidak seperti insan yang aku pernah kenali sebelumnya. Dialah sahabatku yang pertama yang aku anggap sebagai ahli keluargaku sendiri. Kasihku kepadanya melebihi nilai segala harta dan kemewahan didunia dan disebabkan hal inilah kami berjauhan. Sahabatku begitu rapat dengan keluarganya dan kewujudan aku dalam hidupnya umpama sehelai uban diatas kepala puteri yang cantiknya tidak pernah dimakan usia. Aku wajar ditarik keluar dan dibuang sejauhnya.

Sahabat kedua muncul ketika hatiku mencari erti nilai persahabatan dengan makna yang sebenar. Dia datang dengan tiba-tiba dan perginya dia adalah dengan kadar yang segera. Dia duduk disebelah sewaktu kami di bahu sekolah dan kami berdua akan bertukar bekalan makanan. Dia dengan nugget ayam, burger dan ayam gorengnya dan aku dengan nasi goreng, mee goreng dan nasi lemak ku. Sungguh berbeza kami berdua tetapi minat kamilah yang mengikat kami bersama kerana kami mampu untuk berkongsinya bersama. Seperti bekalan makanan yang sering kami tukarkan bersama seperti itulah kami bertukar ilmu yang ada didada. Dialah insan yang mengajarku untuk tidak memadam setiap kesilapan yang ku lakukan semasa melukis kerana kesilapan itulah yang mencantikkan lukisan dan membezakannya daripada lukisan yang lain. Ketenangan dan sifatnya yang sentiasa penuh dengan semangat membuatkan aku percaya akan nilai persahabatan kami. Tetapi aku ditipu olehnya. Dia pergi meninggalkan diriku dengan khabar palsu dan aku hanyut beberapa tahun cuba mencari dirinya semula.

Sahabat ketiga muncul ketika aku cuba untuk menggariskan jiwa dengan persoalan cinta dan ilmu. Dia seorang gadis yang tidak pandai menghiaskan diri dan tidak pula peduli dengan apa yang diperkatakan oleh orang disekelilingnya. Penuh dengan ilmu di dada dan sentiasa cuba untuk mencari sedetik waktu lagi dalam memenuhkan dada dengan lautan ilmu. Dialah yang mengajar aku untuk mengejar harapan dan untuk menjadi insan yang menghargai ilmu bukan atas nilai kehidupan tetapi atas nama mencapai kepuasan di jiwa. Kami berkawan seramai 4 orang; setiap satu dengan planet masing-masing tetapi entah bagaimana jodohku dengan si dia begitu kukuh sehinggakan kami begitu rapat. Rapat sehinggalah aku tidak berjaya membaca luahan mata dan perhatiannya. Aku lalai mengejar yang cantik dimata sedangkan yang indah itu sentiasa berjalan disisi ku. Apabila aku yang mudah alpa ini sedar dengan apa yang terjadi maka itulah masanya bila sahabatku tidak lagi mampu menerima akan diriku lagi. Kesilapan ku yang cuba menjadi terbaik terhadap seorang gadis yang mengharapkan yang lebih dari nilai sahabat telah memusnahkan nilai persahabatan kami. Umpama satu lubang hitam yang menelan semua planet disekitarnya itulah yang terjadi pada 4 orang sahabat yang suatu ketika dulu bercanda bersama tentang ilmu alam.

Sahabat keempat muncul dengan membawa aku ke dimensi baru kehidupan dimana aku mula jatuh cinta terhadap keprihatinannya dan aku leka dengan segala perilakunya. Permulaaan persahabatan kami adalah biasa sahaja. Tiga orang rakan yang mempunyai pengalaman hidup yang berbeza tetapi mampu untuk meluahkan bersama nilai gurau senda yang hanya tiga sahabat dapat memahaminya. Entah bagaimana apabila hanya tinggal kami berdua, perkara mula menjadi lebih dari yang sepatutnya tetapi tidak pula ia melibatkan nilai yang bercanggah dengan pandangan masyarakat. Kami menjadi rapat seperti seorang abang dan adiknya yang sungguh berbeza. Mungkin disebabkan kami berbeza maka setiap kenangan indah itu menjadi lebih bermakna. Perjalanan hidup kami yang menentukan perpisahan yang terjadi. Setiap yang dewasa harus mengambil langkah dalam mencari nilai erti kehidupan dan itulah yang terjadi. Kami menjadi serapat kuku dan isi. Maka apabila kuku menjadi terlalu panjang dan melebihi hadnya maka, terpisahlah kuku dari isi. Mungkin itulah yang terbaik kerana persahabatan kami bakal menjadi sesautu yang kurang sihat jika berterusan untuk masa yang panjang.

Sahabatku yang kelima masih lagi kabur pandangannya. Tidak aku ketahui wujudnya insan yang mengubah kehidupanku sepenuhnya sebelum sahabat-sahabatku yang sebelumnya.

Jika yang pertama mengajar aku; nilai dunia bukanlah ukuran dari kemewahan harta.
Jika yang kedua mengajar aku; nilai ilmu itu adalah sebentuk perkongsian
Jika yang ketiga mengajar aku; nilai cinta itu hadir dalam setiap nafas yang dihembus.
Jika yang keempat mengajar aku; nilai kehidupan itu berdasarkan keputusan yang dibuat.
Maka yang kelima jika ia mengajar aku, setiap yang berlaku adalah wajar terjadi dengan seadanya.

Itulah sahabatku sepanjang kehidupan aku ini pada usia yang menghampiri 25. Aku mempunyai lima orang sahabat untuk setiap tempoh 5 tahun dalam kehidupanku. Merekalah yang mewarnai hidupku dan bagiku gambaran jelas siapa diriku adalah dengan siapakah aku bersahabat. Dan aku amat bangga dengan shahrul hafizie, zain alauddin, akmal rai, azrel zairul izma dan________________.  

Jangan salah ertikan niatku. Setiap perjalanan hidup itu mengubah nilai insan yang melaluinya dan insan yang sentiasa mengingati adalah insan yang tidak melupakan siapa dirinya yang sebenar.

Comments

Popular posts from this blog

keluarga!

ImAzih nisutAM

Pengalaman "BLUE MOON" ku