Coretan Politik Pagi



Kebangkitan semula ataupun kelahiran semula sesuatu dasar mahupun sesuatu prinsip haruslah diberikan penekanan kerana ia merupakan teras pembentukan nilai masyarakat yang menjadi bahan terhadap pandangan dunia kepada Negara. Dasar yang ingin dikupas adalah berkaitan dengan konsep 1 Malaysia dan juga pandangan mengenai pengaruh politik dalam dasar itu sendiri. Pembentukan konsep yang memperjuangkan dasar penyatuan rakyat di bawah satu nada dan satu prinsipal yang menegaskan bahawa kecintaan terhadap tanah air itu adalah penting dan perlu dipelihara adalah sesuatu niat yang murni. Akan tetapi penerapan ini bila dizahirkan dalam satu bentuk dasar perlulah diperhatikan kebijaksanaannya kerana dasar seperti ini boleh mengundang ketidakadilan dalam pencoretannya. Cuba perhatikan masyarakat kini yang sudah mula mengadaptasikan slogan 1Malaysia-kebanyakan ahli masyarakat bergerak dan berkelakuan berlandaskan kepada prinsip yang terkandung dalam konteks yang telah digariskan oleh dasar tersebut. Akan tetapi dimanakah prinsip dan nilai itu sesudah konsep itu terlaksana, kita melihat bahawa perbuatan untuk cuba menzahirkan suasana yang berlandaskan kepada dasar dan juga slogan hanyalah sebagai satu cara untuk meraikan perjuangan penyatuan yang tidak mampu untuk dilihat dengan mata kasar. Permasalahan sekarang bukanlah kepada penyatuan ataupun pembentukan masyarakat yang satu—masalahnya adalah untuk melahirkan masyarakat yang ikhlas dan jujur serta tahu menghormati diantara satu sama lain tanpa perlu dizahirkan dengan dasar mahupun konsep. Masyarakat sekarang dilihat sebagai satu entiti yang bergerak berlandaskan kawalan dan juga tidak mempunyai kebebasan untuk menentukan hala tujunya dengan sendiri. Kita seolah-olah dikawal dan juga diberikan satu bentuk ruang yang menegaskan bahawa disinilah berlegarnya kebebasan kita tetapi realiti terhadap kenyataan ini adalah ruangan itu merupakan satu perangkap. Masyarakat dibentuk dalam doktrin balang kaca untuk tontonan semua kerana kita cuba menjadi masyarakat yang sempurna. Nilai kemasyarakatan di Negara ini selamanya akan tersulam dengan sejarah, selamanya hendaklah berlandaskan tradisi dan nilai budaya yang tinggi dan juga semestinya berlandaskan prinsip agama. Kita tidak boleh mengkomersialkannya dan cuba untuk membuktikan kepada dunia yang kita mampu bersatu walaupun berbeza. Buktikannya kepada diri sendiri-lakukannya tanpa perlu ada dasar mahupun slogan dan itulah yang akan membawa perubahan yang lebih besar dari sekarang.

Cukuplah untuk kita memahami hal yang terjadi pada hari ini adalah satu mainan politik dan ia makin lama makin hilang keberkesanannya. Masyarakat sekarang terlalu disogok dan juga dikawal oleh politik. Tiada satu pun pembentukan dasar Malaysia yang tidak bertunjangkan nilai politik. Mungkih ini semua disebabkna oleh pembentukkan dasar itu sendiri lahir dari ahli politik? Ya! Memang benar dasar itu adalah persetujuan ahli-ahli politik tetapi jangan terlepas pandang terhadap masyarakat yang terpaksa hidup berdasarkan dasar itu-masyarakat yang memberikan kuasa terhadap ahli politik itu. Apabila masyarakat tidak lagi diambil kisah dan perjuangan politik itu bergerak dengan bebas maka disaat itulah konflik dan juga perselisihan faham akan tercetus. Contohnya berlaku disekitar kita, malah ia mula terpapar pada diri kita sendiri. Kita hendaklah tahu bahawa kita tidak boleh hidup dengan berpegang kepada konsep politik, nilai politik perlu dihapuskan dalam beberapa aspek kehidupan kita supaya kebebasan yang mutlak mampu untuk dikecapi. Supaya keadilan yang diperjuangkan mampu untuk kita miliki tanpa dikawal. Dan supaya imej yang kita impikan mampu dibentuk dengan sempurna tanpa sebarang penipuan. Bebaskan kawalan politik terhadap bidang pendidikan di Negara ini kerana kerapuhan politik itu mampu untuk memusnahkan generasi akan datang. Bebaskanlah ekonomi ini dari tunjang politik kerana kealpaan politik itu menjadi halangan untuk menyumbang terhadap pembentukan daya saing yang lebih menguntungkan. Lepaskanlah masyarakat dari doktrin dan delima politik kerana masyarakat yang bebas adalah lebih tahu menghargai nilai kemasyarakatan dari masyarakat yang dikawal oleh kuasa politik. Jadikanlah politik sebagai medan untuk membawa masyarakat dan suara keadilan kepada yang berhak milikinya, jangan jadikan politik sebagai medium untuk menjaga kepentingan bangsa, agama dan Negara kerana masyarakatlah yang sepatutnya menjaga kepentingan bangsa, agama dan Negara!

Comments

Popular posts from this blog

keluarga!

ImAzih nisutAM

Pengalaman "BLUE MOON" ku