aku masih lagi berseni


Sunyi sepi noda ilmu yang berdolak-dalik dengan erti-kataku adalah luahan rasa hati tanpa pengertian. Karyaku adalah pengolakan jiwa yang cuba melanggar tragedi kehidupan. Mungkin rasaku sungguh pahit dan jiwaku tidak tenang. Mungkin kelakuanku mengingkari perjalanan alam dan juga diriku merosakkan jiwa tetapi apakah daya ini adalah langkahku. Aku berjuang atas nama ilmu, menulis atas nama minat dan berkata atas nama kebenaran. Keprihatinan mu mungkin aku tidak peduli dan pendapatmu mungkin aku sangsi tetapi aku tetap mengerti segala yang terjadi tidak mungkin begitu mudah sekali. Aku mengerti keindahan adalah untuk dirimu hargai dan kesengsaraan adalah hak diriku untuk memperbaiki, aku juga mengerti tiada sesiapa yang mampu menulis kata-kata hati dalam bentuk bicara yang penuh dengan warna bahasa. Tiada siapa yang ingin meluangkan masa untuk menghayati sebuah karya. Tetapi aku pasti dalam pengertian ini aku bukanlah mereka. Mereka yang lalai dengan segala usaha, mereka yang hanya mengerti erti seni melalui pembacaan dan mereka yang gagal menghayati karya kerana tidak pernah mempunyai jiwa. Kata-kata mereka hanya mengungkap ucapan yang telah lama terzahir, hanya perulangan yang tiada erti, hanya melodi yang membuai jiwa seketika tetapi tidak merobek nada sezaman. Azali seni ini bagi mereka adalah satu bentuk perjuangan untuk mendapatkan sesuatu yang terbaik dengan tahap kepuasan yang maksimum. Tetapi bagi ku seni ialah sesuatu yang memuaskan naluri dikala erti itu berjaya diertikan sezahirnya. Memang susah untuk mereka memperbaiki dan memang susah untuk mereka mencapai tahap yang asli. Akan masa itu sentiasa bersimpati, kini mereka telah pun cuba untuk mengungkai bakat dengan latihan, mereka kini berjuang atas nama penyampaian dan bukannya kesenangan. Masa itu kejam kerana semuanya masih lagi bergerak dengan perlahan, pada permukaan memang masih tercemar, masih lagi basi dan kotor dalamannya. Seindah lautan tiada yang lebih mengindahkan dari lautan yang penuh dengan kehidupan. Begitulah sepatutnya seni, seni yang hanya indah dimata tapi tiada nilai estetika mempunyai luahan rasa yang sungguh janggal. Populariti mungkin tercalit pada mereka yang mempunyai wajah, yang mampu melafazkan suara ataupun yang hanya bertemankan tuah. Sebaliknya populariti zaman hanya berpihak kepada mereka yang mengasah bakat untuk kehidupan yang lebih sempurna, yang mengejar kesempurnaan sejati, yang berani mengatakan bahawa seni itu hak individu dan tidak pernah ia perlu disalah ertikan. Aku mungkin tidak layak merungkai seni dan juga tidak mampu untuk mengolah sebuah persembahan yang indah. Akan pasti aku tahu membezakan diantara yang asli ataupun hanya perulangan berbeza semata. Jangan kita alpa kerana apa yang dilihat tidak semestinya apa yang disampaikan. Dan apa yang tersampai tidak mungkin dapat dilihat dengan mata kasar. Seni itu penuh dengan kasih, penuh dengan lurah dan penuh dengan mewah. Hanya yang benar-benar mengejar seni atas nama seni sahaja yang bakal menyaksikan kehebatan berkarya. Sesiapa yang mencipta seni semata untuk menjadi sebahagian daripadanya, semata untuk melihat kepada kesenangannya, semata untuk berkata kehidupan ini bagus untuknya maka mereka inilah yang akan kehilangan estetika seni di dalam diri. Wadah ini bukan bertujuan untuk mengulas tentang seni tetapi cuma bertujuan untuk membawa erti seni dalam pemikiran. Seni itu indah jangan pula disalah tafsirkan!

Comments

Popular posts from this blog

keluarga!

ImAzih nisutAM

Pengalaman "BLUE MOON" ku