Sistem Pendidikan Ilmu

Oleh kerana saya terterjun di bidang pendidikan; agaknya sesuailah kita berkata-kata tentang sistem  ilmu yang seharusnya mendidik setiap insan menjadi nadi penggerak kearah kebaikan di dalam dunia dengan akal pemikiran yang sihat. Tidak perlulah kita bercerita panjang mengenai segala kokurikulum dan perancangan untuk menaik taraf tahap pencapaian anak-anak muda supaya setanding dengan masyarakat dunia kelas pertama .

Sebelum kita memulakan bicara ini, siapakah kita sebenarnya untuk menilai kualiti pendidikan negara? Kita adalah mangsa dalam kemelut untuk menetapkan panduan supaya sistem pendidikan ini diiktiraf dan diperakui dunia. Bukannya kita adalah sumber ilmu tetapi kita adalah hasil rujukan ilmu. Setiap kegagalan kita merupakan satu kegagalan terhadap sistem yang diwujudkan oleh golongan yang telah berjaya. Mereka megah berkata-kata dan kita adalah bahan terhadap setiap patah ayat yang telah ditulis dan diperakui. Tidak ada yang  lari, jika kejayaan yang berjaya dikecapi ianya menjadi satu panduan terhadap keangkuhan individu yang telah merancang semuanya.

Kita sepatutnya diberikan rujukan terhadap segala perubahan dalam sistem ilmu, kerana kitalah nadi terhadap ilmu itu. Pada masa dahulu tiada satu penetapan sistem dilakukan secara menyeluruh apabila menyentuh pada soal ilmu kerana nadi ilmu itu wujud dalam keterbukaan terhadap akal yang menerima. Sistem yang wujud hanyalah sebagai perlambangan terhadap jati diri ilmu tersebut tetapi itupun ianya bukanlah berbentuk ketetapan peraturan. 

Ilmu itu melambangkan budaya dan itulah yang dicorakkan oleh masyarakat yang membudayakan ilmu. Kini ilmu dan budaya merupakan dua identiti yang berbeza, budaya makin hilang dikikis oleh peredaran zaman yang memanipulasikan populariti dan ilmu diperuntukan sebagai satu pelaburan untuk menjana pendapatan di masa hadapan.

Sebagai sebuah negara yang mahu bergerak kearah kemajuan; kita tidak pernah cuba belajar dari kegagalan negara-negara yang memperlihatkan keangkuhan kemajuan mereka. Malaysia pada asasnya berada dalam transisi perjalanan kearah negara maju dan para pemimpinnya seharusnya mula berfikiran melebihi pencapaian yang dikecapi oleh negara maju. 

Perkara yang paling jelas dibentuk negara maju adalah kegagalannya dalam melahirkan insan yang berilmu dan pada masa yang sama mempunyai kebolehan untuk bersederhana dalam merangkumi setiap aspek kehidupannya. Ilmu yang didik adalah berasingan dengan segala aspek pembentukan peribadi dan prinsip kebebasan yang didedahkan memberikan impak yang mendalam pada pembentukan peribadi setiap insan yang lahir melalui didikan sistem tersebut.

Mereka mungkin berjaya dan kita sentiasa memperakuinya tetapi tibalah masanya untuk kita memperakui diri kita sendiri sebagai seseorang yang berjaya dalam membentuk masyarakat yang lebih baik dan setanding dengan setiap pengiktirafan yang dilkeluarkan oleh mereka.

Kerangka perancangan kita perlulah diseragamkan sebelum diubah-ubah. Tahukan anda terdapat perbezaan ketara terhadap cara penulisan rancangan pembelajaran harian di setiap negeri di Malaysia? Tahukan anda masih lagi terdapat sekolah yang kekurangan buku teks dan terdapat sekolah yang mempunyai lambakan buku? Dan ini adalah hanya asas terhadap sistem pendidikan yang kita banggakan.

Kita seharusnya malu untuk memperjuangkan pembaharuan sistem yang belum lagi berjaya mencapai kata yang diucapkan. Sistem pendidikan yang lestari dan berdaya saing perlu tetapi yang paling penting adalah pada semua peringkat setiap murid itu menerima kualiti pendidikan yang sama.

Sepatutnya Malaysia tidak menggunakan alasan bahawa kawasan pendalaman itu terlalu susah untuk dipastikan setiap perkara yang kurang dilengkapkan kerana kita sendiri telah merentas dunia dalam memberikan bantuan terhadap yang memerlukan. Bukankah kita yang berdiri untuk memerdekakan konflik di Filipina, bukankah kita yang beratur untuk memberikan bantuan terhadap keamanan di Bosnia, dan tidakkah kita yang melabur berjuta ringgit demi memastikan sahabat kita di Gaza terpelihara haknya!.
 
Dimana kita bila melihat kembali nasib anak bangsa sendiri. Bukanlah kerja seorang guru untuk masuk kedalam hutan dan membina sebuah sekolah! Bukannya kerja guru untuk mencetak sejuta patah ayat bagi muridnya hafal demi menjawab seribu soalan yang belum pernah dilihatnya! Bukanlah tanggung jawab guru mendaki bukit dan mendongak kelangit bagi mencari setitik gelombang bagi memastikan dunia luar tahu kewujudannya!

Bukannya saya, rakan-rakan pendidik yang lain inginkan kemewahan dan kemajuan yang terlampau tetapi hakikatnya kami menuntut keadilan terhadap masyarakat yang menginginkan perubahan. Bukan perubahan dalam aspek fizikal semata-mata tetapi perubahan terhadap sistem yang wujud yang menafikan hak mereka yang inginkan ilmu.

Kami mampu untuk mendidik pemikiran generasi mendatang, tetapi kami tidak mampu untuk mengatakan terhadap mereka penindasan yang mereka lalui merupakan nasib yang menimpa mereka kerana kejahilan diri mereka sendiri. Sesungguhnya masyarakat yang terpinggir itu tidak jahil malah mereka lebih harmoni dan berakal dari golongan yang megah di kota-raya.

Kami malu untuk memperakui setiap kekurangan yang terdapat dihadapan kami, kami takut terhadap masa hadapan anak-anak ini, kami resah melihat nasib diri sendiri yang terumbang dalam realiti yang nyata ini. Kami sentiasa berharap akan pertolongan orang untuk membantu kami dalam memberikan segala yang mampu supaya mereka tidak sedikit pun merasa kekurangan.

Tapi hakikatnya bukanlah mereka yang perlukan pertolongan tersebut tetapi diri kami sendiri, kami mewakili masyarakat yang maju dan masyarakat yang hidup dalam kemewahan diluar sana untuk mendidik jiwa-jiwa kental ini supaya berjuang didunia yang kian musnah nilai-nilai murni dalam kehidupannya. Kami seakan-akan mengeluarkan belian dari kerak bumi untuk dipakai oleh golongan yang hanya berseloka dengan apa yang mereka miliki.

Secara jujurnya, sistem pendidikan negara masih lagi perlu diperuntukan nilai perhatian yang tinggi,dan keseimbangan perlu diwujudkan bagi memastikan setiap warga pendidik itu mempunyai kebolehan untuk berfikir dengan suara pemikiran yang lebih kreatif bagi memajukan nilai pendidikan di negara ini.

Setiap kejayaan itu perlulah diabadikan dan setiap kegagalan perlulah dipelajari supaya kita tidak bergerak hanya berlandaskan memajukan diri tetapi kita bergerak kearah membangunkan setiap bahagian yang mengalami kegagalan.

Golongan pendidik di Malaysia diharap bangun dan menyuarakan segala hak mereka terhadap sistem yang menindaskan ilmu. Kualiti ilmu itu bertunjangkan pemahaman ilmu yang wujud dan bukannya kebolehan untuk memiliki setiap titis ilmu yang ditulis. Sebaik-baiknya kita sebagai masyarakat mula memperakui bahawa ilmu yang terdidik adalah ilmu yang dizahirkan dalam perilaku kehidupan dan bukannya ilmu yang diiktiraf oleh institusi ilmu semata-mata.

Comments

Popular posts from this blog

keluarga!

ImAzih nisutAM

Pengalaman "BLUE MOON" ku