i love you dad!

Banyak perkara yang berlaku pada tahun ini, 2012 yang sepatutnya menjadi pembawa kepada perubahan dunia dan pengakhiran zaman telah meletakkan gelarannya dengan sewajarnya dimana terlalu pilu perjalanan pada tahun ini. Bermulanya tahun ini adalah dengan penuh rasa gembira seumpama bunga yang mekar seawal ketibaan hujan di padang yang gusar dengan kemarau yang lalu. Tetapi keindahan bunga tidak menjanjikan kegembiraan berpanjangan. Seumpama senyuman yang tidak boleh terukir indah di wajah seorang gadis buat selamanya.

Perbuatan orang tidak mungkin kita dapat menduga dan pemergian orang yang tersayang tidak mungkin dapat diceritakan dengan penuh keindahan.  Aku kehilangan seorang yang hebat dalam hidupku, seorang sahabat, seorang yang mempermudahkan segala kepayahanku, seorang yang tidak pernah lupa akan keceriaan di dalam kehidupannya.

Beliaulah yang membuatkan diriku ini dekat pada alam yang menjadi keindahan dunia ini. Ayah, bapak, papa, daddy dan abah- walau apa pun panggilannya, engkau tetap satu dan sentiasa dihati anakmu yang kurang sempurna ini. Mahu ataupun tidak, seperti bicara kita; tiada apa yang boleh menghalang dan tidak pula kita mampu untuk menduga segalanya. Sanggup manusia memusnahkan hidup untuk sesuatu yang sungguh hina. Abah bukanlah salahmu mahu membantu tetapi tidak pula salahmu atas apa yang terjadi.

Banyak yang boleh dilakukan untuk mengubah jalur-jalur hidup tapi apakah maknanya jika setiap ketentuan itu boleh dicarik-carik nilainya mengikut kepentingan. Percayalah atas apa yang terjadi mempunyai makna dan tidak perlu dipanjangkan pendoman atas makna pengorbanan.

Ayah, kita selalu mempunyai pandangan yang berbeza dan sering kali kekecewaan menjadi parut dalam bicara hati kita. Tapi siapa kita untuk tidak terlepas dari kepiluan hidup, walaupun begitu tidak pernah sekali anakmu ini merasakan dirinya hidup dengan kepayahan yang merosakkan jiwa. Terima kasih ayahku. Terasa seperti semalam diriku ditarik dari pintu rumah terheret atas jalan raya untuk memaksa diriku yang malas ini pergi mengaji, ataukah sebentar tadi aku dapat panggilan daripadamu bila pengetua ku memberitakan tentang kemalasan anakmu ini disekolah sehingga dia perlu diberhentikan. Bukankah sebentar tadi kita berjenaka tentang diriku yang bakal menjadi guru dan tidakkah kita hanya berbual tentang kemungkinan diriku belajar undang-undang untuk menjadi peguam.

Aku berasa sungguh hina kerana tidak sempat untuk membuatkan dirimu bahagia sebagai mana dirimu sentiasa cuba memberikan aku segalanya. Pernah kita bercanda, semahal mana baju yang kau belikan, akan aku belikan sesuatu yang sama nilainya tetapi kini bila masanya aku berkemampuan; sedikit pun aku tidak mampu dan bukanlah itu maksubmu tetapi tetap dihati ini aku sentiasa tidak akan tenang dan gembira.

Papa, terima kasih kerana berjaya dalam memberikan nilai kehidupan dan membawa diriku ini menjadi orang yang boleh menharungi kehidupan dengan semangat yang kental. Tidak perlu kita bermegah dengan apa yang kita ada di depan mata tetapi bermegahlah dengan apa yang kita bakal sumbangkan kepada masa hadapan. Kata-katamu yang selalu bermain difikirkan ku adalah; “apa seterusnya?”. Asalkan ada perancangan dan impian tidak mungkin kita akan ketinggalan.

Aku bukanlah anak yang patut dibanggakan dan tidak pula aku bakal menjadi insan yang sempurna. Tapi satu yang aku pasti daddyku lah yang paling baik, romantik, bersemangat, gigih, berani, kelakar, penyayang, jujur, amanah, dan abah yang cukup sifatnya bagi diriku ini.

Jika takdir memungkinkan insan yang telah menghukum ayahku dengan sihirnya yang hina itu membaca ini, mengertilah sebagai warisnya aku telah memaafkan setiap lakumu yang sesat itu kerana tiada makna bagiku mengejar binatang yang tidak mempunyai naluri hati dan akal.

Comments

Popular posts from this blog

keluarga!

ImAzih nisutAM

Pengalaman "BLUE MOON" ku