DIALAH PEREMPUAN BERKUASA


Ada seorang perempuan mahu berkuasa di dunia tetapi dasarnya ia adalah seorang perempuan maka kelakuannya perlulah sebagai seorang perempuan. Perempuan ini tidak pernah menjadikan nadi jantungnya sebagai halangan malah itulah yang memberikan dorongan untuknya menggalak dalam kelakuannya. Dasar perempuan untuk berkuasa ialah seorang lelaki perlu dikemudi untuk menuju kearah yang lebih menyenangkan. Godaan dan juga pujukan menjadi tunjang untuknya mengorak langkah. Jangan terpedaya kerana perempuan ini bukannya jahat lakunya cuma dia sanggup untuk melakukan kejahatan bagi melihat impiannya tercapai. Perempuan berkuasa itulah matlamatnya cuma masyarakat tidak pernah mahu melihat impian ini menjadi realiti. Lelaki pada mulanya digunakan kini telah di tinggalkan untuk seorang lelaki yang mampu memberikan perbezaan dalam kehidupannya. Lelaki yang telah dinikahi perlu melepaskan perempuan ini kerana padanya impian untuk menguasai dunia tidak mungkin tercapai jika dia tidak mengorak langkah melakukan pengorbanan ini. Perjalanan hidupnya penuh rona dan tidak pernah lena. Derita dan dosa sentiasa menjadi taruhan, dia berkuasa dan dia juga memerintah kehidupannya. Dalam alam perkahwinan dia mampu tersenyum dalam potret dan mampu untuk memegang erat tangan suaminya yang baru untuk menunjukkan kepada dunia yang bahagia adalah milik dia dan pasangannya. Hakikat dunia itu nyata, suaminya tidak pernah kasih terhadap dirinya. Mereka tidak pernah bercinta, tidak pernah tahu berkasih sesama sendiri. Mereka bernikah hanya untuk menguasai dunia, dia sanggup meninggalkan kekasihnya demi untuk mengapai impian dan si suami dibelenggu masalah yang hanya kekuatan dari perempuan ini mampu mengatasinya. Mereka melengkapkan satu sama lain tetapi bagai api dan air keduanya saling berbeza tika cinta memasuki jiwa.

Si suami keluar dari rumah untuk mencari kesempurnaan wanita, seseorang yang berkasih dan mampu bernoda sayang tanpa cita-cita yang terlalu besar. Seseorang yang tidak gah dalam pemikiran tetapi gah dalam kearifan dunia. Cinta mereka berputik dan tidak pernah dikisah oleh perempuan ini kerana dia mengerti bahawa sesungguhnya dirinya tidak pernah mencintai si suami. Semuanya adalah untuk cita-citanya, semuanya untuk kemewahan dan kuasa yang dia idamkan. Biarlah si suami dibuai kasih dengan wanita yang mampu memberi kasih kerana tiada apa yang termampu untuk dilakukan jika itulah kehendaknya.

Makin kuasa meningkat makin terdesak perempuan ini untuk memastikan bahawa si suaminya mencapai yang terbaik. Segala perbuatan, segala kata, segala perancangan perlulah melalui perempuan ini kerana semuanya adalah cita-citanya. Dialah yang berkerja keras untuk semuanya, disebalik kempen, disebalik rasuah dan juga pergolakan yang berlaku; berdirinya perempuan ini. Perempuan inilah yang memastikan mereka diam, mereka patuh dan dialah yang memastikan suaminya cemerlang di mata yang melihat.

Kuasa telah tercapai tetapi luka lama masih wujud dan kini kesakitan itu mula dirasai. Masyarakat tidak perlu tahu bahawa perempuan ini bukanlah kasih yang dicintai suaminya. Wanita itu perlu dihapuskan dan segala yang terjadi sebelumnya perlu didiamkan. Hilangkan wanita ini dari hidupnya supaya si suami tahu betapa serius perjuangan perempuan ini untuk mendominasi. Si suami sentiasa lemah dan tidak pernah tahu melihat potensi masa hadapan dirinya sendiri, kuasa ini terlalu besar untuk dirinya maka inilah sebab perempuan itu memilih si suami. Kelemahannya dan potensi dirinyalah yang menjadi tarikan.

Semua orang tahu perempuan ini berkuasa, mereka melihat kekuatan dan keazaman yang dia zahirkan. Perempuan ini bukanlah mainan dan juga merupakan pejuang yang tidak pernah mahu mengalah. Dialah yang tahu dan mahu segalanya. Kini seluruhnya dalam tangannya! Impian menjadi perempuan pertama yang berkuasa kini tercapai.

Comments

Popular posts from this blog

keluarga!

ImAzih nisutAM

Pengalaman "BLUE MOON" ku