Berlabuh Pergi 2016, Bahtera bermula 2017

Melabuh tirainya pergi 2016, duka lara dan sandiwara dunia berakhir sekali lagi dengan pengiraan hari satu putaran lengkap mengelilingi matahari. Suatu ketika dahulu, sejarah manusia menitik beratkan matahari sebagai ikutan, pegangan dan kepercayaan. Semua itu berlalu tetapi masa tetap ditentukan dengan matahari; kepercayaan yang dicipta oleh yang mencipta. Begitu juga pengakhiran 2016, sejarah memperlihatkan betapa mudahnya kepercayaan yang dicipta berubah oleh mereka yang mencipta.

Bersegi, bukannya bulat. Dramatis, bukannya seni. Tersungkur, bukannya dikejar. Sesuatu yang kita semua terlepas pandang ; bermula dengan kejatuhan ekonomi dunia; bermula dengan suapan rasuah; bermula dengan pengkhianatan bangsa. 3 perkara yang perlu diketengahkan untuk difahami pada penghujung 2016.

Bersegi, bukannya bulat. Itulah sepatutnya diterima oleh semua bila melihat kepada pergerakan ringgit dan komoditi entiti ekonomi seperti minyak, gas dan sawit. Kita tidak boleh menyangkal prestasi kewangan negara tidaklah semegah mereka yang sedang berlari membina empayar dan kita tidak jugak boleh berpejam mata terhadap mereka yang berkuasa tetapi gagah berbelanja, disebalik kita yang berjimat dengan kerisauan dan kita yang bergerak dengan kegusaran. Apa yang boleh dikatakan 2016 menunjukkan kepada kita, yang kaya tidak akan mudah menyerah dan yang miskin tidak akan gigih melangkah. Inilah yang kita bina dan disinilah bentuknya bukan bulat seperti mana kita rasa. Semakin ramai yang muda dimurahkan rezeki, bangun dan berjaya dalam kehidupan sehinggalah mereka berani berdiri untuk hanya keselesaan diri dan populariti. Hanya bangun dan bangkit utk mereka bukan untuk negara. Dalam patah dan dalam kata mereka tidak sesekali mahu rugi, dalam patah dan dalam kata mereka tidak melihat kepada yang murah bahkan sarung kaki perlu berjenama. Inilah bentuk bersegi, bucu tajam yang tidak boleh bergolek asal kata bila ekonomi kita menjunam ataupun menaik. Golongan ini hanya mahu diangkat dan ditolak jika tidak manakan pasti mereka mampu kekal dikemuncak. Bucu tajam mereka menekan dan menyusuk tika beban ini yang kita usung. Ekonomi negara bukan pada saham dunia, bukan pada nilai wang tapi pada bentuk masyarakat yang dibina. Ramai yang bersuara seperti Singapura jika mereka berkuasa, ada yang menjanjikan Dubai sebagai cermin harapan dan ada yang kekal dengan syukur keamanan berkekalan. Teruskanlah mengejar, semoga kita jelas dan nyata bentuknya sudah bersegi dan selama mana kita tidak sedar, makin ramai yang akan terluka jika terus - menerus mereka mengasah bucunya.

Dramatis, bukannya seni. Begini sahaja lah aturan dan laungan mereka yang memimpin. Dikatakan tidak berbakti, melantun tinggi berita. Dikatakan tidak berbudi, akhbar penuh dengan kata. Dikatakan tidak ikhlas, penuh wajah dikota raya. Seperti mana itulah, seperti itulah rasuah dan setiap kekufuran yang dititah pada hadapan dan di sebalik kuasa. Penat lelah yang berjalan, penat lelah yang berbaju kuning, merah, biru, putih dan oren, penat lelah yang berusia - itu sahajalah penat lelah. Semua itu begitu dramatis, tetapi tiada seninya. Begitu dramatis tetapi bakatnya hilang dan seolah hanya seloka kepada yang sudah tahu pengakhiran ceritera. Kita berkata inilah kebenaran tetapi kita sendiri hanya terbangun apabila kebenaran itu tidak seindah kehendak hati. Mereka berdiri untuk diri sendiri, bersuara dengan nada yang gusar terhadap kehendak peribadi. Apa yang mereka katakan, mahu berbakti tetapi setelah kuasa diberi. Tidakkah kita sedar itu yang mereka suarakan, dijalanan dan disebalik akhbar- akhbar. Ya! Peluang dan ruang terbuka luas jika berkuasa, banyak perubahan yang boleh direncana dan diperincikan dan setelah itu kuasa adalah penentu perjuangan mereka. Kuasa yang mereka mahu sebelum mereka melangkah, kuasa yang digelar amanat dan tanggungjawab. Semua ini adalah demi kuasa dan untuk kuasa. Inilah kesalahan kita, memberi kuasa unutk dikawal dan seperti itu drama ini akan berkekalan. Nilai masyarakat adalah kepada tanggungjawab dan bukannya kuasa bagi yang bertanggungjawab. Kita tidak melahirkan pemimpin dan kita tidak lagi membentuk masyarakat. Sebaliknya kita melahirkan pemerintah dan golongan diperintah. Kita akur dan kita tunduk dan malah kita berkawad dalam wadah apa yang mereka perjelaskan kepada kita. Kita benarkan nilai hidup kita ditentukan dengan wang dan nilai masyarakat kita dibentuk berlapis lapis. Tidak lagi rumah dibina atas dasar keperluan tetapi sebagai lambang kemewahan. Tidak lagi keluarga dibentuk atas dasar cinta tetapi atas kapasiti kewangan. Kita hidup dengan penuh dramatis tapi hilang seni masyarakatnya. Seni itu telah tiada, air ditempayan untuk membersihkan kaki, sudah lama tempayan dibuang zaman.

Tersungkur, bukannya dikejar. Dahulu kita berpegangan tangan dan mendewasakan diri dengan ungkapan perpaduan. Disatukan dengan semangat waja dan di cita-cita kan dengan penuh berwawasan. Tangan itu dilepaskan dan semuanya berkejaran sehingga ada yang jatuh sendirian tanpa dikenang. Ramai yang memilih menjadi pengkhianat negara kerana lebih mudah untuk melihat dan ketawa kepada mereka yang masih di gelanggang. Ramai jugak yang bertepuk bersorak melihat anak-anak bangsa jatuh bangun dalam lembah dunia. Kepada yang sedang merosakkan bangsa, kepada yang tidak percaya kepada negara, anda tidak layak untuk melihat kami walaupun kami tersungkur ketika cuba bangun berdiri. Kami berlari dari bayangan semalam, bayangan keputusan bapak-bapak perjuangan yang menikam-nikam hati untuk bangkitkan semula kesedaran. Jika ada yang diantara kami cuba berpegangan tangan, ada dikalangan kami yang menarik dan berkata haram. Haram untuk melupakan bangsa dan bersatu dibawah Jalur Gemilang. Haram untuk melupakan agama dan bersatu di bawah Perlembagaan. Haram untuk melupakan adat beraja dan bersatu dibawah panji Kesultanan. Kerana bagi mereka yang berjuang, jika itu yang dipegang maka sekali lagi tangan digenggam dan jika itu terjadi tiada siapa yang akan berlari, permainan tamat - gelanggang ditutup, tiada lagi untuk dikhianati dan tiada sorakan untuk dilaungkan. Itulah yang membuatkan kami tersungkur, kerana belum dikejar, kami telah dikhianati. Mereka mengajar kami untuk takut dan menakuti satu sama lain, mengatakan Tuhan selain dari Tuhan di hati, berniat jahat dan sentiasa berdendam untuk sejarah semalam. Mereka menyusuri hati-hati kami dengan seloka kegusuran untuk melihat masa hadapan jika tiada perbezaan maka tidak akan wujudkan keseimbangan dan penindasan dalam kehidupan. Mereka tidak membenarkan kita berbeza dan mereka tidak mahu kita bersatu - mereka membentuk bangsa, memperjuangkan agama dan berbakti untuk negara; yang mereka cipta, untuk mereka, demi mereka dan seadanya mereka.

Berlabuh sudah setahun masa berlalu, berlabuh sudah sejarah semalam. Tiada gusar. Tiada kata-kata selain nasihat. Walaupun begitu tidak perlu dicari titik permulaan jika tidak berani melangkah, tiada perlu diubah jika yang mengubah tetap berwajah serupa. 2017 - semangatnya utuh, baru bermula dan bakal beraksi. Jika tiada kata, baiklah berdiam, jika berdiam jangan sesekali berdendam. Jika berdendam sujudlah kepada yang menCipta. 

Comments

Popular posts from this blog

keluarga!

ImAzih nisutAM

5 sahabat!