matinya akal bila bernyawa nafsu

Sejujurnya aku telah banyak membaca cacatan sejarah, dan bukannya mudah untuk memahami gambaran sebenar tentang apa yang berlaku. Sejarah bukannya kisah kecil dan terpencil dimana ia patut dibahagi-bahagikan. Sejarah bukannya cacatan diari setiap individu yang hidup merentasi zaman. Dan sejarah bukannya satu garis panduan untuk memacu perubahan. Sejarah adalah rujukan kejadian yang sepatutnya menjadi tulang belakang kearah kehidupan yang lebih memberi keamanan. Dan dalam lipatan sejarah semua yang terjadi mempunyai sebab dan alasan yang munasabah. Alasan itu mungkin lapuk dan mungkin bercanggah tetapi ianya patut dihormati kerana diatas alasan itu kita mampu membaca sejarah seperti mana yang kita lakukan kini. Ramai yang lupa; tidak pernah sesiapa pun dalam dunia ini berjaya mengubah sejarah tetapi mereka hanya mampu hidup dalam ratapan sejarah. Apa yang berlaku pada masa silam tidak mampu diubah malah tidak patut menjadi satu dendam yang akan mengakibatkan kita asyik melupakan diri, kita tidak pernah puas dengan kejadian semalam bahkan kita tidak pernah belajar dari kesilapan silam. Siapa kita? Dimana kita? Dan apakah yang kita lakukan?

Telah puas disuruh melihat ke langit dan mengucapkan kata syukur! Tetapi kita tidak sesekali melihat ke langit untuk bersyukur bahkan kita meludah ke langit yang akhirnya memusnahkan diri. Kita pacu alasan mengatakan kita kebelakang dan sedarkah kita yang menuju kebelakang itu adalah diri kita sendiri. Jangan membuat bising kalau usaha yang dijalankan tidak setimpal pengorbanan yang diperlukan. Buktikan pada dunia anda adalah pemacu perubahan. Lakukan tugas dengan penuh keikhlasan dan bangunkan diri dengan penuh kebanggaan. Jangan mulakan langkah dengan mencaci dan jangan akhirkan janji dengan fitnah yang menikam.

Kalah dan menang itu tidak pernah menjanjikan keadilan! Keadilan itu lahir dari pelaksanaan tanggung jawab yang lengkap. Tidakkah masyarakat melihat apa yang berada ditangan? Perlukah saya berterus terang mengatakan kita ini tidaklah seteruk Negara yang lain. Perlukah saya mengatakan bahawa keadilan masih wujud untuk setiap orang di Negara ini pada hal perkara itu jelas di hadapan muka masing-masing. Siapa yang mengurung siapa tanpa alasan.? Perlukah kita mendengar alasan si pesalah sedangkan bicara kesalahannya masih berjalan? Dimanakah kita bila diperlukan untuk berjuang? Berapa banyakkah diantara kita yang tahu apa sebenarnya berlaku semasa semua itu terjadi? Jangan hanya mendengar kepada kata-kata. Jangan terpesona dengan limpahan bukti dimana setengah penduduk lain tidak mengerti. Jangan hanya leka dengan bual bicara yang menjelaskan konflik itu dengan sendiri. Tiada siapa lari dari kesalahan dan kesalahan itu akan sentiasa memburu diri.

Ingatlah wahai masyarakat sejauh mana kata dilaung, yang berkata itu kita sendiri dan yang dilihat adalah wajah masyarakat yang dahulunya harmoni. Celaka ke atas siapa yang tidak melihat keadilan kini, dan sial-lah pada siapa yang tidak tahu bahawa dia telah lahir dengan kemewahan yang tidak pernah dikenali oleh masyarakat lain. Buta lah hati setiap insan yang bangunnya hanya untuk menanam benci ke atas insan yang lain. Dan hinanya pada siapa yang tahu sesuatu itu buruk tetapi tetap gagah untuk memperjuangkannya.

Hati ini gusar kerana kita tidak tahu hala tuju masa hadapan; hati ini gusar kerana yang pandai berfikir itu telah mula mengorak langkah untuk bercanggah tanpa tujuan. Jangan di bunyi semboyan peperangan jika hakikatnya tanah dipijak tidak pernah dijajah! Kita sudah merentasi zaman, kita sudah unggul di mata dunia dan kita sememangnya berjaya dalam segala perjuangan. Akan tetapi kita masih di takuk lama. Masih payah untuk kita bersatu dalam satu suaka harmoni tanpa dusta yang memeritkan. Kenapa kita semu harus tamakkan diri dengan benci? Salahkan kita pejamkan mata demi keamanan sejati? Kita mampu menasihati yang lain untuk berpegangan tangan mengejar impian tetapi kita sendiri tidak pernah belajar untuk melahirkan senyuman tanpa sebarang tekanan.

Sepertinya inilah pendoman untuk aku sendiri- jangan percaya apa yang diungkapkan insan yang berkuasa kerana mereka mengetahui apa yang patut dirahsia. Jangan percaya apa yang diduga kerana mereka sentiasa tahu akan apa itu bicara. Jangan mudah leka dengan perkara yang dinyata sessungguhnya masa kini tidak lama.

Aku tidak pernah mahu lihat sesuatu yang indah dirobek kerana seorang insan yang dicalar maruahnya cuba untuk membetulkan sejarah. Dengan itu aku berpujangga kerana aku mampu berbahasa.


INDAH PERMAI TASIK DI LANTAI BUMI,

DIHIASI PERMATA HIJAU DAN BERNYAWA PENUH BERERTI,

TERCIPTA LANGIT DAN BUMI UNTUK SI KHALIFAH TERSUCI,

MELIHAT KESILAPAN LAMPAU DENGAN PENUH KEINSAFAN DIHATI.

DERDOLAK DALIK PEROSAK DURJANA,

KATANYA BERNADA LIDAHNYA PENUH BERMAKNA,

MEMBUAI LEKA SEMUA YANG TAHU ERTINYA,

DITOLAK JAUH KITA KEDALAM KANCAH NERAKA.

DIARAK DAN DIJERIT SATU PERJUANGAN YANG MEMASTIKAN RENTAK PERUBAHAN,

DITENTANG DAN DISEKAT TINDAKAN MALANG TIADA KEUNTUNGAN,

YANG BERKUASA MEMBERI KATA PERSETUJUAN TETAPI DISIAKAN INSAN TIDAK BERPENGETAHUAN,

ITULAH MEREKA KHALIFAH YANG DIBERIKAN DUNIA TETAPI TIDAK MEMAHAMI ERTI KESYUKURAN.

Comments

Popular posts from this blog

keluarga!

ImAzih nisutAM

Pengalaman "BLUE MOON" ku