UMNO : LEGASI MELAYU

Adakah BN masih wujud kini?

Pada pilihanraya ke-13, kita melihat dua komponen parti MIC dan MCA telah mula hilang pengaruhnya kepada masyarakat dan sewaktu pilihanraya 14, kedua- dua parti ini tidak berdaya memberikan impak yang kuat kepada UMNO untuk meneruskan legasi BN memerintah negara. Kini BN perlu mencari iltizam baru kerana kepincangan yang berlaku dalam UMNO tidak boleh memacu fokus yang kuat dalam perjuangan BN.

Kekalahan yang berlaku merupakan tindak balas rakyat terhadap ketirisan dan pembaziran yang telah dilakukan oleh pengemudi utama BN pada ketika itu iaitu Najib Razak. Najib Razak yang merupakan Perdana Menteri telah mengambil pendekatan untuk menggunakan pengaruh dan kekuatan legasi UMNO sebagai tunjang berkempen pada pilihan raya tersebut. Kekalahan yang diperolehi telah membuktikan bahawa konsep berhutang budi kepada perjuangan BN terhadap Kemerdekaan dan pembangunan negara tidak berjaya meraih perhatian umum.

Kelemahan BN bukannya pada satu parti sahaja. Tetapi konsep gabungan tiga bangsa yang memperjuangkan hak-hak yang berbeza adalah faktor utama kepada kehilangan minat golongan muda dalam mendekati parti-parti ini.

Walaupun BN dikatakan mendahului konsep perpaduan tetapi BN adalah entiti yang telah mengasingkan bangsa dengan memberikan ruang untuk setiap bangsa mempunyai parti-parti politik masing-masing. Hal ini ditambah pula dengan isu peribadi pemimpin telah menyebabkan suara BN dalam arena politik negara menjadi lemah.

Perjuangan bangsa seharusnya adalah melalui konsep kesefahaman dan penerimaan bangsa seharusnya melalui dialog terbuka dan inilah intipati Pakatan Harapan, konsep inilah yang menjadi daya yang menggerakkan gabungan PH.

UMNO perlu kembali membuka minda dan meneliti semula corak kepimpinan UMNO terdahulu yang telah menggariskan konsep Melayu melalui Perlembagaan Malaysia. UMNO MUSNAH adalah kerana ianya memecah belahkan MELAYU kepada konsep bangsa berdasarkan adat dan pengaruh. Sedangkan konsep Melayu melalui Perlembagaan adalah lebih terbuka dan tidak memandang kepada susur kelahiran seseorang.

Sensitiviti perkauman tidak hanya mengenai menjaga kaum dan bangsa lain, akan tetapi merangkumi bangsa dan kaum itu sendiri. Jika UMNO ingin memperjuangkan hak Melayu, mereka hendaklah lebih faham kepada konsep Melayu dan bukannya memecah belahkan penyatuan bangsa Melayu.

Idealisme Bumiputera pula merupakan konsep yang telah dilupakan oleh UMNO bahkan Barisan Nasional sendiri tidak pernah membawa dasar yang kukuh untuk meperjelaskan perbezaan antara konsep MELAYU dan Bumiputera.

Salah satu faktor yang memacu perpaduan negara adalah konsep BUMIPUTERA dan BUKAN BUMIPUTERA. Akan tetapi tidak ramai yang faham akan korelasi kedua duanya dan konsep BUMIPUTERA lebih kepada bangsa dan kaum semata dan tidak bersandarkan keagamaan. Oleh yang demikian, pada dasarnya BUMIPUTERA adalah satu lagi konsep yang memecahkan dasar Melayu melalui Perlembagaan Malaysia.

Apabila hal-hal seperti ini berlaku, sesebuah parti politik yang bertanggungjawab perlu melihat dan menganalisis faktor ini kerana ia merupakan dasar kepada semua aspek pemerintahan negara. BN TIDAK MAHU MENGUBAH PERKARA DIATAS.

Dengan mengambil pendekatan untuk tidak menyentuh hal berkenaan, UMNO tidak lagi relevant dalam perjuangannya. UMNO yang dahulunya menerajui Konsep MELAYU melalui Perlembagaan Malaysia kini tidak lagi berbicara tentang penyatuan Melayu, sebaliknya menyokong dasar perbezaan antara bangsa seperti konsep Melayu Johor, Bugis, Jawa dan sebagainya. UMNO jugak tidak mampu membawa penyatuan dalam BUMIPUTERA kerana tiada dasar yang jelas untuk memastikan ISLAM merupakan teras kepada konsep BUMIPUTERA sebaliknya susur jalur kelahiran dan sekali lagi darah kelahiran merupakan teras utama status BUMIPUTERA.

Jika benar UMNO mahu melakukan kebangkitan dan jika seharusnya mandat pemerintahan mahu dikembalikan kepada Barisan Nasional, pemimpin UMNO dan BN perlu melihat kembali kepada faktor yang telah diterangkan tadi. Hal ini penting kerana pada permulaannya perjuangan UMNO dan BN adalah melalui konsep perpaduan dan penyatuan rakyat untuk membentuk Malaysia.

Tidak seharusnya UMNO dan BN ghairah dalam menerajui pembangunan dan kemajuan ekonomi semata, kerana faktor pembangunan dan kemajuan ekonomi adalah tanggung jawab semua rakyat Malaysia dan bukannya parti politik.

Pakatan Harapan pada ketika ini masih jauh dari berkemampuan untuk menegaskan faktor MELAYU dan BUMIPUTERA kerana pada dasarnya kewujudan Pakatan Harapan adalah untuk memulihkan ketirisan ekonomi dan penindasan kuasa yang dilakukan oleh Najib Razak.

Oleh yang demikian, UMNO mempunyai ruang dan peluang yang cerah untuk memulakan dialog baru kepada konsep sebenar MELAYU dan BUMIPUTERA yang berteraskan Perlembagaan Malaysia. Hal ini penting kerana pada dasarnya UMNO masih merupakan parti politik Melayu terbesar di negara ini.

Jika UMNO yang baru ingin memilih landasan untuk memulakan langkah sebagai sebuah parti yang relevant kepada suara rakyat, UMNO harus membuka semula idea-idea pengasas UMNO dan melihat kepada konsep yang telah dilupakan untuk sekian lama.

Kita tidak mahu sebuah parti politik yang sekian lama bertapak di Malaysia, hilang dan menjadi sia-sia atas kepincangan pemimpin-pemimpin nya. Kembalikanlah suara dan berpeganglah kepada asas kewujudan UMNO iaitu penyatuan Malaysia dan peneraju pembentukan bangsa.
  

Comments

Post a Comment

please think wisely!

Popular posts from this blog

keluarga!

ImAzih nisutAM

Pengalaman "BLUE MOON" ku