Merah Jua Darah Melayu Ku

Menjelang 16 September-kearah pembentukan Malaysia marilah kita mengimbas kembali 4 sifat Melayu yang tercatit dalam sejarah rakyat/ masyarakat Melayu.

1)      Mahsuri
-  Berlaku di sebuah pulau di kawasan pmerintahan kesultanan Melayu Kedah ( Langkawi ). Kisah bagaimana seorang perempuan yang telah pun bersuami difitnah dan dibunuh oleh penduduk kampong dan akhirnya sumpahannya menjadi keramat yang menghukum keturunan dan segala penduduk yang terlibat.
·         Fitnah, bukan perkara baru dalam hidup orang Melayu dan itulah makanan racun yang merosakkan bukan hanya masyarakat, tetapi seluruh ketamadunan Melayu tetapi kita kini lebih suka melayari bahtera fitnah daripada menunggu kepada cahaya kebenaran. Terjadi kepada Mahsuri, di ceritakan sejak berzaman dahulu tetapi dimana kita sekarang ini… masih lagi berfitnah dan tuduh menuduh…

2) Puteri Gunung Ledang
- Berlaku semasa zaman kemuncak kegemilangan empayar Kesultanan Melaka. Puteri Jawa yang mempunyai intelek dan kecantikan yang tidak mungkin dapat diatasi oleh mana-mana wanita sezaman dengannya. Disebabkan nafsu dan keghairahan seorang sultan, kekayaan dunia tidak dapat membuka mata baginda apabila gagal menampakkan syarat ketetapan Puteri hanyalah helah untuk menafikan kehendak Baginda. Akhirnya tersedar Baginda tika darah keturunan sendiri yang diinginkan Puteri menjadi syarat utama.
·         Tamak, Melayu sangat kaya dan sebenarnya mampu berjaya tetapi selagi kita tidak melihat kepada bangsa kita sendiri untuk dibantu, kita akan terus menaburkan wang dan masa untuk sesuatu yang tidak mungkin menjadi pemilikan kita. Jangan sehingga syaratnya adalah untuk kita melepaskan tanah ini barulah kita sedar cita-cita kita itu sudah banyak merugikan bangsa sendiri tanpa ada apa-apa pulangan. Kisah Puteri Gunung Ledang menampakkan sifat kepimpinan Melayu yang tamak mengejar bayangan yang indah dan apabila hanya keturunan sendiri tergugat barulah terbuka mata melihat kesilapan dan mencari erti keinsafan. 

3) Hang Tuah
- Kemunculan pahlawan keramat Melayu ini selari dengan kebangkitan kekuatan Kesultanan Melaka. Siapa dan apakah yang terjadi padanya merupakan nukilan sejarah yang masih mempunyai persoalan sehingga sekarang. Akan tetapi pada detik awal kemunculannya sehinggalah saat ketika kata-katanya menjadi slogan seluruh jiwa Melayu, terbukti bahawa dunia Melayu penuh dengan kacau-bilau dan jika tidak dikendalikan dengan adat yang tinggi maka hilanglah erti Melayu dari dunia ini.
·         Perbalahan, dalam dunia Melayu hal ini adalah perkara biasa. Setiap individu adalah pahlawan yang mempertahankan pendiriannya sendiri. Disebabkan sifat iri hati, dan kecik hati lalu ia memakan diri dan apabila berkuasa inilah ketumbuhan yang menjalar dalam jiwa yang akan membawa kemusnahan sendiri. Jika tiada adat yang menghalang dan pertimbangan yang sewajarnya, pahlawan Melayu yang kuat dan gagah pun tidak mungkin dapat menghulur keris bagi memperbetulkan keadaan dan itulah hakikat kejadian yang menimpa Hang Tuah. Melayu tidak akan hilang didunia adalah kerana sifatnya ini tidak mungkin diatasinya.

4) Singapura dilanggar todak
- Cerita ini mungkin terjadi di kawasan persisiran pantai dan melibatkan bencana alam yang tidak mungkin dapat diterangkan dengan jelas tetapi apa yang jelas adalah  keputusan seorang budak untuk mencadangkan batang pisang digunakan sebagai penghalang serangan todak telah menyelamatkan ribuan nyawa dan akhirnya budak itu dibunuh kerana takut kepintarannya boleh mengatasi kewibawaan Sultan.
·         Kejahilan, jangan terkejut dan janganlah Melayu mengamuk tidak keruan kerana inilah perkara yang berlaku. Bukan sekali Melayu jatuh dan bukannya sekali Melayu dihina dan dipersenda tetapi tidak pernah Melayu bangkit untuk memahami apakah sebenarnya masalah utama. Seperti peristiwa Singapura dilanggar todak, itulah yang kita lakukan – ada Melayu yang bijak pandai dan mampu berkata-kata serta memimpin, kita pinggirkan disebabkan ketuanan Melayu itu tinggi nilainya.  

Melayu, masyarakat dahulu tidak hanya menyampaikan cerita ini semata-mata untuk menunjukkan kepelbagaian budaya dan cerita rakyat tetapi bagi kita yang hidup untuk mempelajari kesilapan mereka supaya tidak kita ulangkannya semula.

Comments

Popular posts from this blog

keluarga!

ImAzih nisutAM

Pengalaman "BLUE MOON" ku