Puaka Melayu

Ramai yang mula melawati laman sejarah dan banyak minda yang mula mengerti ilmuan sejarawan; begitu indah nukilan-nukilan jiwa yang menulis tentang limpahan keberkatan dan kejayaan dalam setiap pendoman perjuangan. Indah; selesa dan membanggakan – setiap penulisan blogger politik dan juga pejuang tegar idealisme kehidupan dalam memperkatakan seribu erti terhadap setiap nadi persoalan yang membenak jiwa masyarakat. Kita harus faham dan fasih dalam memahami setiap pihak yang berdiri tetapi apabila kita sentiasa berdiri berkata-kata pasti terduduk dan mungkin ada yang tersungkur bila terlalu banyak yang cuba dicabang ertikan maknanya. Tidak salah untuk membaca sejarah dan menjelaskan fakta terhadap persoalan yang mungkin memberikan kecurigaan terhadap kefahaman tetapi kesalahan adalah apabila menegakkan ayat dan meluruskan fakta untuk diterjemahkan kepada kebenaran yang tiada tunggang terbaliknya.

Kita mungkin berwadah dalam kata-kata dan kita pasti tergigit lidah dalam perhitungan malah ada yang lebih dari itu; dan semua ini semata-mata untuk membangkitkan jiwa bagi menjelaskan realiti sezaman yang kian hilang dalam tenggelam.

Sedarlah wahai blogger dan diriku ini; terlalu banyak menulis dan berseru mampu membuatkan makna hilang dan rosak dalam sekelip mata. Kita bukannya mampu untuk memperbetulkan cahaya nur tetapi kita hanya mampu membuka minda terhadap ilmu yang terpendam. Sedarilah sejauh mana kita cuba membangkitkan jiwa; tegar jiwa sendiri haruslah dirawat agar tidak dilunak oleh kebencian yang pastinya memadamkan ayat kebenaran dalam penulisan itu.

Haruskah diingatkan bahawa setiap kelakuan dan kata-kata itu merupakan bukti sezaman yang akan dipergunakan semula untuk memberikan penjelasan terhadap anak-anak yang baru mula membukakan mata melihat dunia.

Kepada blogger yang terlalu menyanyangi Tun M, mengertilah walau patah tumbuh hilang berganti; tidak mungkin pucuk naik teguh berdiri. Kepada blogger yang memperkatakan kebenaran PRU13; bercerai darah dari badan, matinya jiwa keseorangan; berpisah rakyat dari Perlembagaan, musnah semua segala pegangan!Kepada blogger yang memperkatakan hak Melayu; takkan Melayu hilang didunia, kecuali mereka sesat dan juga alpa. Kepada blogger yang memperkatakan kepada kebangkitan; Puteri Hang Li Po datang berjalan telah terpikat dengan raja Melayu, Kalau kami tersangat kejam mana mungkin beratus tahun kita masih bersatu.

Ingat dan ingat segala yang terjadi dan apabila sampai waktunya bukan lidah yang akan berbicara menjawab nanti, hati nurani akan memberikan erti kepada Maha Pencipta yang kelak menyoal nanti. Jangan kita sesekali lupa, apa yang terjadi bukanlah disebabkan diri ini selalu sahaja tidak bermaya tetapi apa yang terjadi disebabkan kita terlalu mempercayai dalam setiap yang berlaku itu adalah perjuangannya.

Berhenti. Lihat. Fikir. Dan hayati. Apa yang terjadi kini merupakan detik pemisah yang menentukan kekuatan kita sebagai sebuah negara. Jika pada tahun ini Malaysia ku boleh berdiri megah dalam kemelut dunia yang dipukul oleh kuasa alam dan kegilaan manusia dalam perjuangan maka tegar untuk kita membuktikan kepada dunia, kitalah acuan yang sempurna untuk keharmonian sejagat.

Tetapi jika masa itu berlalu dan setiap detik kita menyemai kekejaman pada mata, telinga, mulut dan akal-- kelak hati akan mengeras membatu dan seribu tahun kita akan sengsara dalam mencari pendoman terhadap kesilapan beberapa patah ayat yang gagal diterjemahkan untuk membangkitkan nilai yang sepatutnya.

Setiap kita harus malu untuk berkata-kata kerana belum sampai akal dan minda kita untuk berkata menyeru kearah kebaikan kerana kita hanyalah manusia. Kalau kita berbicara, bawalah bersama makna ayat-ayat kitab kesucian agama yang bukan penulisan manusia semata-mata. Barulah adil kata-kata yang diluahkan kerana lunak hati manusia sentiasa cuba menyelisihkan sesama sendiri walaupun luka berdarah diri kita akan pasti tetap merah darah yang mengalir.

Tak ramai yang mampu menbaca dan berkongsi ilmu untuk membenarkan semua pihak tetapi saya masih lagi mampu untuk bertahan setakat mana yang terdorong kerana pada saya sejauh mana darah saya memberi erti kemelayuan pada diri, hati nurani ini mencintai Islam yang penuh dengan keikhlasan dan kotak otak ini menyemai detik kecintaan terhadap masyarakat yang dibentuk untuk berbakti kepada serata alam tanpa mengira siapa, dimana dan apakah mereka sesungguhnya Tuhan itu Maha Mampu membenarkan hidayah kepada sesiapa yang dikehendakinya.

Bila berfikir tentang negara, jangan dikenang apa yang terjadi pada diri kita sendiri. Duit ditangan bergunung sekalipun tidak puas hati mengejar duniawi. Fikirkanlah tentang mati dan warisan kita nanti. Jangan selalu berpesan kebencian dan kehinaan pada ahli masyarakat kerana yang mendengarnya bukan kita tetapi yang akan berjuang untuk kita kelak. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata diri sendiri merana. Pepatah melayu sentiasa menghias dunia, bukan dengan kelembutannya sahaja tetapi dengan nilai yang tidak mungkin pecah dipermainan zaman.

Orang Melayu tidak pernah bongkak dan tidak berani berdiri mencela dunia kerana kita orang yang tahu erti sopan dan rendah diri. Kalau mahu memelayukan diri, jangan dijadikan Gandhi yang berarak menuntut hak, jadilah perwira yang taat dan setia sehingga ke hujung nyawa walaupun kebenaran itu nyata-- (Hang Tuah). Kalau diri difitnah dan dicaci cela, janganlah mengheret dunia untuk menuntut bela, jadilah Mahsuri yang tahu kesucian itu takdir Allah yang Maha Berkuasa. Dan akhirnya jagalah ibu pertiwi ini seindahnya ia, walaupun miskin tetapi masih bernyawa, jangan pula digadai maruah kerana ingin kaya seperti Si Tanggang yang lupakan dunia, kelak disumpah menjadi batu dan berkubur tiada.

Kamu mahu bergelar Melayu—terimalah seadanya ia. Kamu mahu menjadi umat Muhammad --- bersalamanlah sesama seagama. Kamu mahu menjadi rakyat Malaysia --- berdiri kita bersama-sama.

Sudah sampai waktunya untuk kita menjadi pejuang keamanan bukan hanya untuk diri sendiri tetapi untuk dunia ketahui, inilah detik akhir zaman dan kepada siapa yang bermusuhan sesama sendiri tanpa mengira bangsa dan agama, tamatlah sudah detik penyatuan!!


Comments

Popular posts from this blog

keluarga!

ImAzih nisutAM

Pengalaman "BLUE MOON" ku