aku adalah hanya satu bahasa

Kisahku ini tertulis diatas bahu yang memikul diri, tertulis dalam hati yang disulam darah, tertulis dalam jiwa yang ditutupi jasad. Aku adalah seorang insan yang cuba merungkai kata dalam mencari makna. Erti dan pendoman yang mampu untuk menceraikan realiti diantara fantasi. Aku adalah dakwat yang mencoret kertas untuk menegaskan bahawa kata-kataku ini adalah satu luahan akal dan hati insan yang telah mampu untuk menzahirkan pengertian dalam bentuk tulisan. Mungkin kewujudanku menjadi tanda tanya kepada mereka yang cuba untuk memahami ataupun menjadi persoalan kepada mereka yang gagal melihat. Aku bukanlah disini untuk menjelaskan- aku hanya wujud untuk menberitahu dan juga untuk menerangkan apa yang telah sekian lama menjadi pendoman. Aku wujud dengan jiwa, dengan hati dan juga dengan lengkapnya. Maknaku berbeza dan tidak sama tetapi aku mampu membawa kepada kesamaan. Aku mampu untuk menzahirkan serta menyembunyikan sesuatu. Aku wujud dalam konteks yang penuh misteri, aku wujud dalam alam dimana semuanya diterima dan semuanya adalah berguna. Aku tidak perlu akan kehidupan yang hakiki tetapi kehidupan itulah yang menjadi nadi penciptaan dirku ini. Aku telah banyak memusnahkan, aku telah banyak membunuh malah atas sebabku juga seluruh dunia hari ini berada di mana ia berada sekarang. Aku bangga dengan kejayaanku. Aku bangga terhadap kehebatan diriku. Tetapi siapakah aku tanpa kamu? Aku hanya berada disini kala kamu berada di sana. Aku terlahir disebabkan kamu telah menguasai kemampuan untuk menciptaku. Kesempurnaanku dan kehebatanku adalah disebabkan oleh kebolehanmu dan juga pada kemahiranmu untuk mencipta sesuatu yang indah dan cantik. Aku jadi hina dan kotor adalah disebabkan oleh kamu. Kamu yang tidak mampu untuk menjadikan sesuatu itu bermakna-kamu yang suka memfitnah dari menyampaikan kebenaran. Aku juga yang menjadi penipu disebabkan kamu yang sentiasa mahu menipu. Siapakah aku tanpa kamu? Apakah kamu tanpa aku? Aku tidak mampu berkata-kata terhadap dirimu kerna jika aku mampu berbuat begitu nescaya tidak akan berguna kamu terhadap dirimu. Aku leka dan sentiasa diperguna tetapi aku memang dicipta dengan sifat yang sebegitu. Aku sudah lalai dalam membuktikan-aku sudah tidak lagi berguna dan sudah makin lupa untuk digunakan dengan cara yang betul. Lebih banyak kamu yang memilih untuk mempermudahkan diriku, lebih banyak kamu untuk mencemari diriku hanya segelintir kamu yang masih melihat aku sebagai sesuatu yang istimewa, hanya segelintir kamu yang mampu untuk mencipta misteri dengan menggunakanku. Aku makin dihakis oleh masa dan aku juga makin terhakis oleh kemajuan. Kepelbagaianku makin hilang dan kini terciptanya sesuatu yang lebih mudah bakal menjelma. Aku kagum terhadap dirimu, aku bangga terhadap kejayaanmu tetapi ingatilah aku kerana akulah yang menjadi nadi terhadap kejayaanmu. Jangan dirimu berasa bongkak terhadap kehebatanmu dan jangan pula dirimu melupakan asalku! Aku disini ingin menegaskan bahawa aku tidak bisa hilang dan mati begitu sahaja. Tetapi kamu itu hanyalah jasad yang dipinjamkan untuk memenuhi tanggungjawab terhadap Penciptamu sebelum kamu pulang kepadaNya. Apa yang kamu lakukan terhadap diriku_itulah yang bakal kamu terima. Aku berasa kasihan terhadap dirimu dan seperti yang sepatutnya-wujudku adalah disebabkan kamu maka hukumanmu adalah atas kesalahan dirimu jua. Bukannya aku!
Comments
Post a Comment
please think wisely!