MELAYU : HIDUP DALAM MATI


Saya cuba untuk menutup mata dan tidak melihat isu ini, tetapi dikala setiap media sosial berbau sentiment dan kelakuan menghina dilebihkan dari menasihati maka jejari bergerak untuk mengingati diri bahawa isu ini tidak sepatutnya dibuka kembali.

Negara ini dibina atas konsep perkauman. Kita masih dikenal pasti sebagai melayu, cina, india, iban, melanau, bugis, penan dan sebagainya. Kita adalah berbilang bangsa dan agama. Akan tetapi kita juga membina garisan mutlak untuk memperlihatkan siapa yang lebih berhak dan mempunyai keutamaan yang harus dihormati. Sebab inilah perkauman di negara ini berlaku. Memang utama dan penting adalah yang unggul yakni Melayu. Tidak dapat dinafikan betapa pentingnya istilah Melayu untuk bangsa Malaysia. Akan tetapi definasi ini sering disalah ertikan sebagai hak hakiki dan pemilikan bangsa bukannya pengelasan Negara. Ramai Melayu yang berpanjikan negeri dan berpandukan susur jalur kelahiran keluarga berbanding Melayu yang ditakrifkan oleh Pelembagaan. Oleh yang demikian kita melihat wujud dokmatism yang mengatakan ada melayu yang lebih tulen berbanding yang hanya melayu pada dasarnya. Itu satu isu dalam perkauman bangsa yang unggul ini sendiri.


Kita bukan berjuang untuk mengatasi hak masing-masing tetapi perjuangan perkauman moden adalah untuk memberikan suara yang saksama supaya apa sahaja yang adil dan betul tidak dibatasi dengan mudah hanya kerana takut akan kehilangan identiti bangsa. Sesungguhnya semakin kita tutup dan peluk sesuatu perkara, kita akan berbalik kepada kekhuatiran yakni kita tidak mampu untuk bangun dan menjadi unggul dengan diri sendiri.

Untuk menjadi peneraju kepada sesuatu negara, sekumpulan masyarakat kena akur kepada perubahan yang melibatkan aspek lebih dari sekadar identiti. Berfikir kita adalah musuh dan perbezaan itu adalah hanya untuk menindas merupakan sesuatu yang negatif dan seharusnya negativiti dalam pemikiran ini dibuang.

Tunjang negara adalah Islam dan tunjang Islam adalah keamanan. Islam tidak menghina dan menjatuhkan bangsa serta agama. Tiada penghapusan agama berlaku sewaktu pemerintahan Nabi Muhammad bahkan bangsa arab itu bergabung dan membangun bersama.

Kenapa Melayu takut dengan tuntutan keadilan kaum dan tidak pernah rasa terancam dengan penghapusan imej melayu itu sendiri. Melayu sekarang terancam dengan identiti sendiri kerana gagal untuk menguatkan konsep bangsa tanpa dipengaruhi oleh dokma agama. Melayu jarang untuk berbaju melayu, tidak faham konsep bersongkok dan hanya mahu melihat diri sebagai bangsa arab yakni melupakan segala konsep melayu yang asalnya dari Kepulauan Melayu itu sendiri. Tiada usaha untuk mengunakan kain tenunan melayu, tiada usaha untuk memperhalusi seni bina melayu, tiada usaha untuk mempelajari keindahan hikayat dan suara penulisan melayu bangsa di Kepulauan Melayu.

Melayu hilang bukan kerana bangsa lain bangun untuk mengatasi kehendak melayu, tetapi melayu hilang kerana alpa melindungi sesuatu yang tidak bernilai dan mengutamakan sesuatu yang hanya sementara seperti kuasa dan pengaruh. Sejarah Melayu dahulu sehinggalah sekarang masih belum bebas dengan pengkhianatan.

Melayu dahulu jugak bergaduh sesama sendiri dan apa yang hilang adalah nilainya. Tutur bahasanya, keindahannya dan teladannya. Sejarah tertulis bahawa yang mengkhianati bangsa adalah bangsa itu sendiri. Dan Al-Quran mengariskan perubahan hanya berlaku jika bangsa itu sendiri berubah.

Kita haruslah menjadi tunjang suara kepada ICERD, bukannya bermain dengan api dan menafikan sebulat-bulatnya dakyah dan permainan politik. Ingatlah wahai bangsaku, kejatuhan pertama kota Melaka adalah dari tangan khianat anak bangsa Melayu dan kejatuhan UMNO turut disebabkan pengkhianatan kuasa anak bangsa Melayu.

Melayu tidak bole kekal dengan konsep yang sama jika kita mahu kekal relevant. Berbaliklah kepada Perlembagaan dan hormati Melayu yang digariskan disana. Jangan melihat kepada suara, asal usul keluarga dan warni warni pemakaian kita- terimalah kita semua sebagai Melayu dan bina negara bangsa berdasarkan konsep Bumiputera dan Bukan Bumiputera.

Hapuskanlah status quo semua perkauman diperingkat pendidikan. Ajari anak cucu kita menghormati semua bangsa, semua agama dan kenali satu sama lain. Berdiri bersama dan berkata semua keadilan adalah datang dari ISLAM dan bukannya hak kaum, bangsa dan kepercayaan lain. Bina Negara bukan dengan nada perjuangan kita, bina Negara dengan kekuatan bersama yakni mendiamkan pihak extremis perkauman.

Wujudkan zon bebas mempelajari dan mendidik bangsa tanpa melihat setiap kepentingan sesiapa. Kita tidak bole terus menyimpan rahsia dan bangsa lain juga perlu menerima Melayu yang pelbagai ini. Jangan Melayu membunuh Melayu kerana bangsa lain bangun menuntut hak. Hak mereka adalah keadilan dan kita adalah pemegang keadilan itu. Berlakulah adil dengan melihat kepada Islam. Rujuklah AL-Quran dan surah untuk memperingati diri siapakah sebenarnya pejuang utama Islam.

Kita, Melayu adalah bangsa bertuah. Kita pernah jahil, kita amat mengenali bangsa lain. Kita dahulunya ke India, seagama dengan mereka- senada dan bersemadi disana untuk beberapa kurun. Kemudian kita turut hanyut ke Tanah Cina, disebabkan itu ada Melayu yang mulus dan mahir pengiraan nya. Kita turun ke tanah Thai, ke dunia barat serta melihat dunia dengan pelbagai persepektif. Kita sudah melebihi batasan bangsa unggul, darah Melayu bukannya susur jalur asing dengan identiti dunia. Kaum Melayu adalah kepelbagaian yang wujud didunia ini. Tidak perlu DNA, lihat sahaja Bahasa kita. Lengkap kamus dunia dalam satu bahasa. Pengaruh cina, india, arab, portugal, spanish, dan english - siapa dapat menyangkal kan nya.

Janganlah berdiri bongkak dan mengatakan Melayu itu asing. Peluklah mereka yang rasa teraniaya dan bebaskan pemikiran kebencian mereka dengan memberikan mereka khabar gembira bahawa kita Melayu sentiasa bersaudara. Apa yang mereka mahukan adalah perhatian dan pembebasan dari tekanan kehidupan seperti mana kita. Kuatkanlah pegangan agama mereka dan kita lihatlah Islam sebagai pintu untuk menyejukkan hati dan memberikan ketenangan dalam jihad kehidupan ini. Tiada siapa musuh kita jika semua bangsa mempercayai kewujudan Tuhan dan keadilan pada akhir zaman.

Bekerjalah untuk membawa kebaikan, memperingatilah benda benda yang baik dan jauhilah perkara yang memecah belahkan. Kehidupan ini bukan untuk kita menikmati kemewahan, tetapi hanyalah sekadar untuk kita melepaskan keletihan dan berbahagia sementara mempunyai nyawa. Hargailah setiap keindahan dan hormatilah setiap yang berbeza kerana kita seharusnya mempelajari sesama sendiri.


Comments

Popular posts from this blog

keluarga!

ImAzih nisutAM

Pengalaman "BLUE MOON" ku